WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berjaya mengelak penutupan kerajaan selepas Kongres dan Senat bersetuju dengan perjanjian pembiayaan jangka pendek.
Rang undang-undang yang memastikan kerajaan dibiayai sehingga pertengahan November, namun tidak termasuk bantuan baharu kepada Ukraine diluluskan di Senat dengan mendapat 88 undian berbanding sembilan membantah.
Presiden Joe Biden menandatangani rang undang-undang itu beberapa minit sebelum tengah malam semalam.
Resolusi 45 hari itu dicadangkan oleh Speaker Dewan Perwakilan AS dari Republikan, Kevin McCarthy.
Penutupan kerajaan bakal menyaksikan puluhan ribu penjawat awam tidak menerima gaji dan pelbagai perkhidmatan kerajaan akan terjejas.
Sebahagian besar taman negara dan muzium juga mungkin akan ditutup, serta lapangan terbang di seluruh AS dijangka mengalami gangguan dan kelewatan penerbangan.
Malah, kebanyakan program Persekutuan penting antaranya keselamatan makanan, dana penjagaan kanak-kanak dan bantuan bagi mangsa kebakaran hutan di Maui mungkin tidak dapat menawarkan sokongan diperlukan dengan segera.
Namun, semua ketidaktentuan itu berjaya ditepis menerusi persetujuan yang dicapai dan kerajaan AS akan beroperasi selama 45 hari lagi, selain tidak akan membuat sebarang konsesi besar.
Tindakan itu secara tidak langsung memberi tamparan hebat kepada sekumpulan kecil anggota Republikan yang berhaluan kanan yang sebelum ini menuntut supaya perbelanjaan kerajaan dipotong.
Dalam pada itu, Biden menggesa supaya McCarthy membenarkan bantuan dana terus diberikan kepada Ukraine dalam menghadapi peperangan dengan Russia tanpa sebarang penangguhan.
“Kita tidak boleh membiarkan sokongan AS terhadap Ukraine terganggu,” tegasnya.
Selain itu, pemimpin Senat dari Demokrat, Chuck Schumer berkata, rakyat AS kini boleh menarik nafas lega dan rancangan pemotongan belanjawan secara melampau dan berbahaya yang didesak beberapa anggota Republikan berjaya dielakkan.
Namun, beliau menegaskan, perjanjian itu bukanlah ‘destinasi akhir’ dan memberi jaminan bantuan kewangan kepada Ukraine tidak akan ‘diabaikan’.