WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara ke atas dua lokasi di timur Syria yang dikaitkan dengan Kor Pengawal Revolusi Iran.
Menurut Pentagon, tindakan itu dibuat sebagai tindakan balas terhadap serangan dron dan peluru berpandu menyasarkan pangkalan dan kakitangan AS di rantau itu yang bermula sejak awal minggu lalu.
AS mendakwa mahu menyerang kumpulan yang disokong Iran yang disyaki menyasarkan AS bagi menghalang pencerobohan masa depan yang mungkin didorong oleh perang Israel terhadap Hamas, selain berusaha mengelak daripada mencetuskan konflik yang lebih meluas.
Menurut Pentagon, terdapat sekurang-kurangnya 12 serangan ke atas pangkalan dan kakitangan AS di Iraq dan empat di Syria sejak 17 Oktober lalu.
Pegawai Tentera Udara AS, Brigadier Jeneral Pat Ryder berkata, 21 kakitangan AS cedera dalam dua serangan dron menyasarkan Pangkalan Udara Al-Asad di Iraq dan Al-Tanf Garrison di Syria.
“Serangan pertahanan diri yang tepat adalah tindak balas kepada siri serangan berterusan dan kebanyakannya tidak berjaya terhadap kakitangan AS di Iraq dan Syria oleh kumpulan yang disokong Iran sejak 17 Oktober.
“Presiden, Joe Biden mengarahkan serangan yang disesuaikan secara halus untuk menjelaskan bahawa AS tidak akan bertolak ansur dengan serangan sedemikian dan akan mempertahankan diri, kakitangannya dan kepentingannya,” kata Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin dalam satu kenyataan.
Austin berkata, AS tidak mencari konflik yang lebih luas tetapi jika serangan kumpulan proksi Iran berterusan, AS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tambahan untuk melindungi pasukannya.
Menurut Pentagon, semua kakitangan AS yang cedera dalam serangan tersebut sudah kembali bertugas namun seorang kontraktor dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung ketika mencari perlindungan.
Serangan terbaharu oleh kumpulan berkaitan Iran itu berlaku susulan letupan maut di hospital Gaza yang mencetuskan bantahan di beberapa negara Islam.
Pentagon berulang kali mengatakan sebarang tindak balas AS hanya melibatkan serangan ke atas tenteranya, dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan perang antara Israel dan Hamas.-AP