SEOUL: Tindakan Amerika Syarikat (AS) yang membenarkan eksport peralatan ke kilang semikonduktor Korea Selatan di China adalah berdasarkan pertimbangan syarikat-syarikat itu sendiri dan syarikat Korea Selatan, lapor Xinhua.
Kerajaan AS memutuskan kilang cip Samsung Electronics dan SK Hynix di China sebagai “pengguna akhir yang disahkan (VEU)”, membolehkan kedua-dua pembuat cip itu memperoleh peralatan membuat cip Amerika di kemudahan sedia ada mereka di China tanpa perlu mendapatkan kelulusan berasingan daripada AS.
“Tujuan halang kemasukan peralatan semikonduktor ke China adalah untuk menyekat China,” menurut penyelidik di Institut Ekonomi dan Perdagangan Korea, Kim Yang-paeng.
Beliau berkata keputusan AS baru-baru ini juga bertujuan untuk mengelakkan syarikat Korea Selatan daripada mengalami kerugian.
“Jika Samsung Electronics dan SK Hynix gagal mengeluarkan produk, pasaran semikonduktor memori akan terganggu yang seterusnya memberi kesan kepada pengeluar semikonduktor AS,” kata Kim.
Pembekal peralatan cip AS juga akan terjejas oleh sekatan terhadap China, menurut laporan itu.
Beliau berkata sekatan ke atas kemasukan peranti semikonduktor itu menyebabkan AS kerugian berbilion dolar tahun ini. – BERNAMA-XINHUA