Apple kenal pasti punca iPhone 15 cepat panas - Utusan Malaysia

Apple kenal pasti punca iPhone 15 cepat panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CALIFORNIA: Apple semalam berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa isu yang menyebabkan iPhone model baharu menjadi lebih cepat panas daripada dijangkakan, termasuk pepijat dalam perisian iOS 17 yang akan ditambah baik dalam keluaran akan datang.

Tindakan diambil selepas menerima aduan mengenai model telefon pintar baharu itu yang cenderung untuk menjadi sangat panas.

Apple berkata, keadaan berkenaan mungkin berlaku dalam tempoh beberapa hari terawal penggunaannya buat kali pertama atau mengisi semula kandungan peranti kerana terdapat aplikasi menjalankan tugasan yang berat.

“Isu lain yang timbul adalah beberapa kemas kini kepada aplikasi pihak ketiga yang menyebabkan sistem tertekan akibat beban berlebihan,” katanya.

Apple memperkenalkan siri iPhone 15 pada 12 September lalu.

Namun, menurut beberapa pengguna, iPhone 15 Pro mereka mengalami isu kepanasan dengan sesetengah pengguna menyiarkan video yang menunjukkan bahawa iPhone 15 Pro mencapai suhu sekitar 42 darjah Celsius.

Terdapat kes di mana ia mencapai suhu yang dinyatakan selepas hanya dua minit perbualan FaceTime atau penggunaan Instagram Reels antara lapan hingga 10 minit dan menjadi terlalu panas untuk dipegang.

Sesetengah pengguna juga mendakwa telefon menjadi panas apabila tidak digunakan, selain terdapat dakwaan telefon terlalu panas semasa mengecas.

Pengguna juga mengadu mengenai telefon memasuki mod perlindungan dan menghentikan pengecasan kerana haba semasa mengecas, namun perlu diingatkan bahawa tidak semua pengguna mengalami masalah sama.

Bilangan aduan menunjukkan mungkin terdapat masalah dengan siri iPhone 15 Pro yang menggunakan cipset A17 Pro.

Sementara itu, Apple memaklumkan, pihaknya sedang bekerjasama dengan pembangun aplikasi bagi pembaikan yang sedang dalam proses untuk dilaksanakan.

Menurut syarikat itu, aplikasi pihak ketiga yang menyebabkan tercetusnya isu itu termasuk permainan Asphalt 9, Instagram dan Uber.

Instagram telah menambah baik aplikasinya pada 27 September lalu.

Penambahbaikan bagi pepijat iOS 17 yang akan datang tidak akan mengurangkan prestasi dalam usaha menangani isu suhu panas iPhone.

Syarikat berkenaan, yang ibu pejabatnya terletak di Cupertino, California berkata, iPhone 15 Pro dan Pro Max tidak berdepan isu sama iaitu menjadi terlalu panas.

Ini disebabkan reka bentuk, di mana bekas titanium baharu yang digunakan menghasilkan pelepasan haba yang lebih baik berbanding model keluli tahan karat sebelumnya.

Apple turut berkata, isu itu tidak memberi kesan kepada risiko keselamatan atau kecederaan, malah turut dikatakan tidak memberi kesan kepada prestasi jangka panjang telefon pintar berkenaan. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya