BALIKPAPAN: Kisah keakraban luar biasa Pak Ambo dengan seekor buaya betina diberi nama Riska yang diketahui ramai pelancong asing dan warga tempatan bakal berakhir apabila keduanya terpaksa dipisahkan baru-baru ini.
Riska dilaporkan terpaksa dipindahkan oleh Badan Pemuliharaan Sumber Asli Kalimantan Timur (BKSDA) ke kawasan Ladang Teritip di Balikpapan.
Tindakan itu dibuat berdasarkan kejadian seekor buaya yang menyerang penduduk di kawasan Bontang sejak beberapa bulan lalu.
Atas persetujuan penduduk dan beberapa pihak, semua buaya di kawasan itu dipindahkan termasuk Riska.
Semasa berada di Balikpapan, Fitriani yang merupakan anak Ambo mengaku sedih selepas dilarang oleh BKSDA untuk mengambil video haiwan liar berkenaan.
“Peliknya, semalam kami dilarang membuat video. Pengunjung lain dibenarkan pula berbuat demikian tetapi ketika kami tiba, berubah pula arahan dan mengatakan kami salah faham,” kata Fitriani.
Ambo dan Riska cukup terkenal dengan pelbagai video memaparkan persahabatan unik mereka selama hampir 26 tahun yang sering dimuat naik di saluran YouTube Fitriani Riska hingga menerima jutaan tontonan serta pengikut.
Namun BKSDA Kalimantan Timur memaklumkan sudah beberapa kali memberi amaran kepada Ambo supaya tidak membuat kandungan tentang Riska atau memeliharanya kerana buaya itu merupakan adalah haiwan liar yang dilindungi.
Ketua BKSDA Kalimantan Timur, Ari Wibawanto berkata, sebenarnya sejak 2019 pihaknya mengeluarkan surat bertulis rasmi untuk tidak memberi makan atau memelihara buaya tersebut.
“Risikonya sangat besar. Surat pernyataan yang dihantar juga cukup jelas. Ketika melihat video-video dan kandungan tersebut, kami segera mengingatkan mereka dan Ambo sendiri menandatangani persetujuan arahan tersebut.
“Bagaimanapun Ambo tidak mengendahkan amaran tersebut dan terus mencipta kandungan tentang hubungannya dengan Riska. Jadi bukan salah kami jika sesuatu berlaku,” katanya.
Mengenai surat tu, Fitriani mengesahkan terdapat surat yang ditandatangani Ambo namun ketika itu bapanya tidak begitu memahami kandungannya.
“Ayah tidak faham isi kandungan surat dari BKSDA yang ditandatanganinya. Apa yang ayah tahu, kalau Riska mencederakan orang, dia perlu bertanggungjawab. Jadi sebab itu dia sanggup tandatangan,” jelasnya.-AGENSI