KIGALI: Sekurang-kurangnya 49 orang maut, manakala 120 yang lain hilang selepas sebuah bot terbalik di barat laut Congo pada Sabtu malam, lapor Agensi Anadolu.
Kejadian itu berlaku di bandar Mbandaka di Sungai Congo, menurut Timbalan Gabenor wilayah Taylor Nganzi.
“Bot buatan tempatan itu dilaporkan dalam perjalanan ke Bolomba, sebuah wilayah yang terletak lebih 300 kilometer dari pelabuhan Bankita.
“Bot terbabit membawa penumpang dan kargo termasuk bahan binaan, manakala operasi mencari mangsa yang hilang sedang dilakukan,” kata Nganzi kepada pemberita.
Setakat ini, mayat yang ditemui sudah di bawa ke hospital di Mbandaka bagi bedah siasat dan pihak berkuasa sudah memulakan siasatan berhubung tragedi terbabit.
Nganzi berkata mangsa yang maut, termasuk kanak-kanak dan angka kematian mungkin bertambah manakala punca nahas itu dipercayai kerana membawa muatan berlebihan.
“Kami sedang membantu usaha mencari mayat mangsa bersama perkhidmatan bantuan dan keluarga mangsa,” katanya.
Presiden sebuah pertubuhan tempatan, Masyarakat Sivil Baharu Congo, Jean-Pierre Wangela, berkata bot berkenaan terbalik selepas berlaku kerosakan enjin, yang menyebabkan bot berkenaan mula tenggelam.
Kemalangan bot adalah perkara biasa di Sungai Congo dan di tasik negara itu kerana kebanyakannya tidak memenuhi piawaian keselamatan, tidak diselenggara, usang dan kerap membawa muatan berlebihan.
Majoriti penduduk di wilayah barat laut masih menggunakan jalan air sebagai pengangkutan kerana kekurangan rangkaian jalan raya yang baik selain kosnya lebih murah.
Kerajaan Congo sudah pun mengharamkan perjalanan pada waktu malam bagi mengelakkan kemalangan, namun ia tidak dipatuhi manakala penguatkuasan agak lemah. – AGENSI