MADRID: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah kelab malam Sepanyol pada awal pagi semalam, kata pihak berkuasa, dengan kebimbangan jumlah korban masih boleh meningkat apabila pekerja penyelamat menyaring serpihan.
Menurut pihak berkuasa, kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan di kelab terbabit yang dikenali sebagai Teatre, juga dipanggil Fonda Milagros, di tenggara bandar Murcia.
Mereka yang cedera membabitkan dua wanita berusia 22 hingga 25 tahun dan dua lelaki berusia 40-an, dengan semuanya menderita akibat terhidu asap.
Menurut pihak perkhidmatan kecemasan melalui kenyataan di media sosial, anggota penyelamat berjaya memasuki bangunan itu selepas mendapat panggilan pada 6 pagi (waktu tempatan).
Namun, mereka hanya berjaya memasuki sekitar empat jam kemudian, sebelum menemui empat mayat, kemudian dua lagi, kira-kira 40 minit kemudian.
Dewan bandar raya Murcia kemudiannya mengesahkan jumlah kematian meningkat kepada tujuh.
Menurutnya, perkhidmatan kecemasan masih bekerja keras untuk memadamkan kebakaran.
“Kami amat menyesali kemalangan itu dan mengucapkan takziah kepada mereka yang terjejas,” katanya.
Terdapat edaran foto yang menunjukkan bomba masih memadamkan kebakaran menggunakan pili air dan asap tebal memenuhi bangunan. – AFP