CHICAGO: Sekurang-kurangnya 1,000 ekor burung ditemukan mati selepas `merempuh’ sebuah bangunan di Chicago pada minggu lalu.
Insiden itu berlaku ketika populasi haiwan itu berhijrah bahagian selatan ke kawasan musim sejuk.
Lapor The Guardian, pasukan sukarelawan masih sedang mencari bangkai burung dalam jarak lingkungan 2.41 kilometer (km) dari bangunan McCormick Place.
McCormick Place merupakan pusat konvensyen terbesar di Amerika Utara yang mana sebahagian besar bangunan itu dilitupi dengan kaca.
“Sudah tentu ia merupakan masalah kecil namun kejadian itu membabitkan kematian banyak dalam tempoh sehari.
“Kami dapati sejumlah besar burung ditemukan mati dan cedera.
“Malah, ia merupakan jumlah kematian burung paling tinggi direkodkan dari perkarangan sebuah bangunan dalam tempoh sehari,” kata Pengarah Chicago Bird Collision Monitors, Annette Prince.
Dari lewat petang Rabu lalu hingga awal keesokan hari, kira-kira 1.5 juta ekor burung dilaporkan terbang di ruang udara Cook County di metropolitan Chicago.
Bangkai burung warbler Tennessee, hermit thrush, woodcock Amerika dan beberapa jenis burung siul antara lain turut ditemukan.
“Bukan semua burung yang merempuh kaca tingkap bangunan itu mati, ada juga yang cedera,” kata penyelidik dari Universiti Western Ontario, Brendon Samuels yang mengkaji kes pelanggaran burung itu.
Tambahnya, bilangan sebenar burung terjejas akan didedahkan dalam beberapa hari lagi ketika orang ramai terus memungut bangkai haiwan itu di sekitar pusat bandar Chicago.