LONDON: Seorang wanita terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan selepas disengat sekumpulan lebah lebih 60 kali.
Caroline Honeycombe bersama kakaknya, Jo Dawson dan anak buahnya berusia lapan tahun disengat beberapa kali ketika sedang berjalan dengan kuda mereka menyusuri jalan dari Mont Huelin, sebuah kawasan tarikan pelancong di puncak bukit di St. Ouen, Jersey.
Honeycombe disengat lebah lebih 60 kali dan terpaksa diberikan titisan intravena di unit kecemasan.
Anak saudara Honeycombe juga memerlukan rawatan selepas disengat lebah lebih 10 kali di sekeliling kepalanya.
“Kuda milik Honeycombe yang bernama Blue mengalami sekitar 80 sengatan dan memerlukan rawatan kecemasan di klinik haiwan.
“Kuda lain pula melarikan diri dalam keadaan panik selepas berjaya mengelak disengat lebah,” jelas laporan.
Kejadian itu berlaku ketika penternak lebah, Nick Faulkner sedang membuka sarang untuk memeriksa madu.
Selepas pulih daripada pengalaman pahit dialaminya, Honeycombe berkata, dia masih ingat kejadian yang berlaku beberapa hari lalu.
“Masih terbayang di ingatan saya Blue `menjerit kesakitan’ di atas tanah ketika kami berusaha sedaya upaya menghalau lebah itu,” jelas laporan itu.
Bagaimanapun, katanya, dia berjaya merangkak keluar dari lokasi kejadian.
“Saya menjerit dan Blue melompat di serata tempat cuba mengelak sekatan lebah.
“Sebelum itu, penternak lebah di kawasan itu sudah memaklumkan kepada kami untuk beredar dari sana namun Blue enggan berbuat demikian,” jelasnya.