NEW DELHI: Seorang penggubal undang-undang dari parti Perdana Menteri India, Narendra Modi dilaporkan mengeluarkan kenyataan berunsur Islamofobia dan kata-kata cemuhan terhadap seorang ahli Parlimen Islam dalam sidang Parlimen.
Semasa sesi perbahasan mengenai kejayaan misi Chandrayaan-3 ke bulan pada Khamis lalu, ahli Parlimen dari Parti Bharatiya Janata (BJP), Ramesh Bidhuri menghina anggota Parti Bahujan Samaj (BSP), Kunwar Danish Ali dengan beberapa kata menyinggung perasaan antaranya `pengganas’ dan `bapa ayam’.
Lapor Al Jazeera, ahli Parlimen dari kawasan Delhi Selatan itu melemparkan kata-kata jelik terhadap Kunwar dalam bahasa Hindi.
“Anda merupakan pelampau… saya akan melihat mulla ini di luar dewan,” kata Ramesh dalam satu video yang tular.
Dalam rakaman video itu, sekurang-kurangnya dua pemimpin kanan BJP dan seorang bekas menteri kesatuan yang duduk sebelah ahli Parlimen itu, kelihatan ketawa.
Kenyataan dibuat oleh Ramesh semasa sesi Parlimen mencetuskan kemarahan ahli parti pembangkang dan pengguna media sosial yang menuntut tindakan tegas diambil terhadap penggubal undang-undang itu.
Sementara itu, Kunwar memaklumkan dia tidak terkejut sama sekali dengan tindakan ahli Parlimen BJP yang bersikap demikian.
Namun, dia mengakui berasa amat kecewa dengan kenyataan yang dilemparkan terhadapnya.
“Saya hanya mahu bertanya kepada Mohan Bhagwat dan Perdana Menteri, apakah ini yang RSS ajar kepada anggota di sekolah mereka?,” soalnya.
RSS merujuk kepada Rashtriya Swayamsevak Sangh atau Persatuan Sukarelawan Kebangsaan yang merupakan mentor ideologi sayap kanan BJP.
Mohan mengetuai RSS yang mempunyai berjuta-juta anggota di India dan luar negara.
Menurut Kunwar, sekiranya seorang wakil rakyat yang dipilih boleh diancam di dalam Parlimen seperti berlaku pada dirinya maka ia juga memberi gambaran sebenar mengenai situasi dialami oleh rata-rata penduduk Islam di negara itu.