LONDON: England akan mempercepatkan program vaksinasi selesema dan Covid-19 yang bakal dilaksanakan pada musim luruh ini.
Program itu disegerakan sebagai langkah berjaga-jaga selepas varian baharu Covid-19 yang sangat mudah bermutasi, BA.2.86 dikesan di Britain.
Sebelum ini, saintis berpandangan BA.2.86 yang merupakan cabang varian Omicron, tidak mungkin menyebabkan gelombang jangkitan yang teruk dan kematian berikutan pertahanan imun dibina menerusi vaksinasi dan jangkitan sebelumnya.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Britain memaklumkan program vaksin tahunan untuk golongan warga tua dan berisiko akan dimulakan beberapa minggu lebih awal berbanding dijadualkan sebelum ini ekoran penemuan varian baharu itu.
“Memandangkan saintis terkemuka dunia mengumpulkan lebih banyak maklumat mengenai varian BA.2.86, jadi adalah wajar untuk mempercepatkan program vaksinasi ini,” kata Menteri Kesihatan, Maria Caulfield dalam satu kenyataan.
Varian BA.2.86 mula dikesan di Britain pada 18 Ogos lalu dan program vaksinasi bermula pada 11 September depan, dengan individu dari rumah jagaan dan golongan mudah terdedah akan didahulukan untuk menerima suntikan.
Ketika ini, varian itu tidak dikategorikan sebagai `varian membimbangkan’ di Britain dan kementerian kesihatan mengesahkan tiada perubahan meluas dalam nasihat kesihatan awam.
Varian itu pertama kali dikesan di Denmark pada 24 Julai lalu selepas virus yang menjangkiti pesakit berisiko menjadi semakin teruk.
Sejak itu, ia dikesan pada pesakit bergejala lain, dalam pemeriksaan lapangan terbang dan dalam sampel air sisa di beberapa negara.
England sudah lama bebas sekatan koronavirus sejak Februari 2022.
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UK), Jenny Harries berkata, varian baharu itu sudah dijangkakan susulan rakyat kini terbiasa hidup dengan pandemik Covid-19 .
“Pada masa ini, terdapat maklumat terhad mengenai BA.2.86, jadi kesan varian tersebut sukar dijangkakan.
“Sepertimana dilakukan sebelum ini, kami akan terus memantau BA.2.86 dan menasihati kerajaan serta orang ramai sambil mengetahuinya dengan lebih lagi,” katanya. – REUTERS