KYIV: Tentera udara Ukraine mendakwa pasukannya berjaya memusnahkan sebanyak 22 dron milik Russia dalam serangan semalaman di wilayah selatan Odesa.
Menurut tentera udara Ukraine menerusi aplikasi Telegram, Russia melancarkan siri gelombang serangan menggunakan dron Shahed-136/131 (pesawat udara tanpa pemandu) dari selatan dan tenggara.
“Sebanyak 25 dron Shahed buatan Iran dilancarkan dan 22 daripadanya berjaya dimusnahkan oleh pasukan tentera udara dengan kerjasama pertahanan udara dan komponen lain Angkatan Pertahanan Ukraine,” jelasnya.
Susulan kegagalan perjanjian dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membenarkan penghantaran selamat dari Laut Hitam, Russia meningkatkan serangan ke atas wilayah Odesa dan Mykolaiv di selatan Ukraine, yang menempatkan pelabuhan dan infrastruktur penting untuk penghantaran bijirin.
Bulan lalu, kapal kargo awam pertama yang berlayar melalui Laut Hitam dari Ukraine tiba di Istanbul sebagai menentang sekatan Russia.
Pada Sabtu lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengesahkan dua lagi kapal melalui `koridor bijirin Laut Hitam sementara’ negara itu. – AFP