Ukraine mahu tingkat pengeluaran dron

Ukraine mahu tingkat pengeluaran dron

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Ukraine bercadang untuk meningkatkan pengeluaran dron negara itu seawal musim luruh ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh bekas Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksii Reznikov ketika negara itu kerap melancarkan serangan dron ke atas wilayah Russia.

“Saya rasa pada musim luruh ini akan berlaku peningkatan dalam pengeluaran pelbagai dron Ukraine.

“Ia akan terus meningkat dalam jumlah yang besar,” kata Oleksii Reznikov kepada Ukrinform semalam sebelum pemecatan jawatan beliau.

Semalam, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memecat Reznikov daripada jawatannya atas alasan mahu ‘pendekatan baharu’ di Kementerian Pertahanan, yang memerlukan perubahan pucuk pimpinan.

Keputusan itu dibuat di tengah-tengah tindakan keras terhadap rasuah di Ukraine, yang menjadi keutamaan Zelensky sekarang.

Serangan dron Ukraine ke atas wilayah Russia semakin meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan puluhan dron menyerang Russia sekali gus, mencecah sejauh bandar barat Pskov, kira-kira 600 kilometer (km) dari Ukraine.

Malah, Kyiv juga pernah menggunakan kedua-dua dron iaitu dron udara untuk menyerang medan lapangan terbang dan dron akuatik bagi melancarkan serangan terhadap kapal dan jambatan ke Crimea.

Terdahulu, Reznikov dalam temubual itu berkata, antara sebab peningkatan pengeluaran itu adalah kerana pihak berkuasa sudah mengurangkan pelbagai peraturan dan undang-undang.

“Jadi, kami sudah menggubal semula peraturan untuk memudahkan proses itu.

“Saya percaya kami sudah berjaya dalam perkara itu dan ia memberi kita peluang menikmati pertambahan seperti itu, terutamanya bagi pengeluar dron yang memulakan pengeluaran dari garaj,” katanya.

Ukraine amat bergantung kepada bekalan senjata moden Barat namun Kyiv berjanji untuk tidak menggunakannya di wilayah Russia.

Malah, untuk serangan sedemikian negara berkenaan hanya menggunakan senjata dihasilkan dalam negara terutamanya dron.

Jumaat lalu, Kementerian Pertahanan Russia memaklumkan pasukan tenteranya berjaya memusnahkan sebanyak 281 dron milik Ukraine sepanjang minggu lalu.

Jelas kementerian, jumlah itu termasuk 29 unit yang terbang di wilayah barat Russia, secara tidak langsung menunjukkan tahap perang dron yang berlaku antara Russia dan Ukraine.

Ukraine pernah menyerang beberapa lapangan terbang jauh di dalam Russia, tengah Moscow dan pangkalan tentera di kedua-dua lokasi iaitu di Crimea yang diduduki dan di kawasan berhampiran sempadan Ukraine.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya