UK jadi 'hotspot' bagi penularan varian Covid-19 Pirola - Utusan Malaysia

UK jadi ‘hotspot’ bagi penularan varian Covid-19 Pirola

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pakar mengisytiharkan United Kingdom (UK) menjadi tompok panas bagi penularan varian Covid-19 Pirola sejenis super-mutasi baharu, dan berkongsi nasihat terbaik untuk mengelakkannya.

Strain terbaru ‘Pirola’ mula dikesan pada Ogos dengan 54 kes dilaporkan di UK setakat 18 September, di mana 48 daripadanya di England.

Kini pegawai kesihatan awam sudah mengesyorkan dos penggalak menjelang musim luruh untuk memastikan seramai mungkin orang yang terdedah mendapatkan suntikan vaksin.

Gejala varian BA 2.86 itu, yang sudah dikenal pasti setakat ini, termasuk demam panas, batuk, hidung tersumbat atau berair, hilang rasa atau bau, sakit kepala, sakit otot serta keletihan.

Doktor pada Jumaat mengesahkan ujian ke atas varian itu tidak menunjukkan sebarang bukti sama ada mutasi itu lebih menular atau meningkatkan risiko kematian berbanding strain lain.

Namun, menjelang peralihan cuaca suhu lebih sejuk, selain pembukaan semula sesi persekolahan selepas cuti, bilangan jangkitan yang merebak dijangka semakin meningkat.

Doktor Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), Dr Hana Patel, berkata terdapat beberapa tahap penularan yang meluas dalam komuniti.

“Pelitup muka membantu menghalang titisan kecil yang ada kalanya tersebar apabila kita bercakap atau batuk. Ini boleh mengandungi koronavirus dan merebak ke permukaan atau orang lain.

“Jika anda menghidap Covid-19, walaupun tanpa sebarang simptom dan tidak memakai pelitup muka, boleh memberi risiko penyebaran kepada orang yang berdekatan sehingga 70 peratus.

“Sebaliknya, jika anda memakai penutup muka, risiko penyebarannya menurun secara ketara,” katanya.

Pengarah Kes di Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA), Dr Renu Bindra, berkata biarpun Pirola mempunyai sebilangan besar mutasi, data yang ada masih terhad untuk membuat kesimpulan mengenai kesan sampingannya.

Katanya, biarpun BA.2.86 mempunyai sejumlah besar mutasi kepada genom virus berbanding varian Covid-19 lain, data setakat ini terlalu terhad untuk membuat kesimpulan kukuh mengenai tahap betapa teruk kesannya dan kebolehannya menular.

“Kumpulan saintis UKHSA sedang bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa untuk meneliti sampel dan menganalisis bukti apabila ia tersedia.

“Bagaimanapun, usaha itu mungkin mengambil sedikit masa sebelum kami memperoleh data mencukupi untuk membuat penilaian dengan yakin,” katanya.

Tambah beliau, pakar dari UKHSA sudah bekerjasama dengan Majlis Daerah Norfolk untuk menawarkan nasihat kawalan jangkitan dan sokongan selepas wabak BA.2.86 dikesan menular di sana.

“Adalah jelas terdapat beberapa tahap penularan komuniti yang meluas, di UK dan di seluruh dunia.

“Kami sedang berusaha mengenalpasti sepenuhnya perkara ini. Sementara itu, penting kepada mereka yang berisiko untuk tampil menerima vaksin sebaik ia ditawarkan kepadanya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya