Udara Jakarta semakin baik, tapi masih terburuk dunia

Udara Jakarta semakin baik, tapi masih terburuk dunia

KUALITI udara di Jakarta semakin baik, namun masih berada dalam tahap bahaya. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kualiti udara di bandar raya ini dilaporkan semakin baik pada minggu lalu, namun masih tersenarai sebagai bandar ketujuh paling tercemar di dunia, selain menyaksikan bandar Kuching di Sarawak berada di tempat ketiga.

Antara melaporkan, Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) Jakarta menunjukkan kualiti udara di kota metropolitan itu tidak sihat dengan partikel atau zarah halus terampai (Particulate Matter) PM2.5 pada kadar 101-199 pada minggu lalu.

Pada status pemantauan IQ Air yang berpangkalan di Switzerland pada minggu lalu, Jakarta diklasifikasikan sebagai kota nombor tujuh paling tercemar di dunia dengan paras PM2.5 pada kadar 118.

Kota paling tercemar di dunia ialah New Delhi di India dengan 157, kedua Karachi di Pakistan (152), ketiga Kuching di Sarawak, Malaysia (136) dan keempat Lahore di Pakistan (136).

Pihak berkuasa Jakarta menyebutkan di antara lima wilayah, Lubang Buaya di Jakarta Timur memiliki angka PM2.5 sebesar 103.

Angka itu menandakan tahap kualiti udara sekarang memudaratkan manusia dan haiwan selain mampu merosakkan tumbuhan serta persekitaran secara umum.

Sehubungan itu, pihak berkuasa di Jakarta mengambil langkah melakukan siraman air dan semburan kabus bagi memperbaiki kualiti udara sehingga paras PM2.5 berada pada kadar antara 0-50 iaitu tahap yang selamat bagi manusia, haiwan mahupun tumbuhan.

Di bawah kategori penilaian itu, keadaan tidak sihat bagi sebahagian besar penduduk sehingga mengancam kesihatan ditetapkan jika tahap PM2.5 adalah antara 200-299 manakala kadar antara 300-500 boleh menyebabkan masalah kesihatan serius.

Selain Jakarta Timur, ISPU di wilayah Jakarta lain juga dipantau, termasuk Bundaran HI di Jakarta Pusat (77), Kelapa Gading di Jakarta Utara (75), Jagakarsa di Jakarta Selatan (64) dan Kebon Jeruk di Jakarta Barat (65).

Penilaian kualiti udara Jakarta diperoleh berdasarkan pemantauan di 20 stesen, antaranya di Layar Permai (PIK), Jalan Raya Perjuangan (Kebon Jeruk) dan Jimbaran (Ancol).

Pengarah hospital terkemuka Indonesia untuk penyakit pernafasan berkata, jangkitan dan kes radang paru-paru meningkat 20 hingga 30 peratus antara Mac dan Julai berbanding tahun lalu, walaupun kurang pasti sama ada semuanya akibat pencemaran.

Pencemaran udara oleh pelbagai punca seperti udara yang lebih panas, corak angin dan topografi memainkan peranan di mana bahan cemar tertumpu.

Pakar juga yakin bahawa pencemaran sumber tenaga seperti loji janakuasa arang batu yang terdapat di Indonesia memainkan peranan penting.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya