Ucapan anti-Islam meningkat ketika pilihan raya India

Ucapan anti-Islam meningkat ketika pilihan raya India

PENUNJUK perasaan memegang sepanduk semasa demonstrasi menentang keganasan anti-Islam di New Delhi. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Satu laporan mendedahkan ucapan berbaur kebencian anti-Islam berlaku lebih sekali dalam tempoh sehari pada separuh pertama tahun ini di India.

Malah, ucapan sedemikian didapati kerap berlaku di kebanyakan negeri di republik itu terutamanya menjelang musim pilihan raya.

Laporan itu dikeluarkan oleh Hindutva Watch, badan pemantau berpangkalan di Washington yang mengkaji serangan terhadap penduduk minoriti.

Laporan itu mendapati sebanyak 255 insiden membabitkan perhimpunan ucapan kebencian menyasarkan umat Islam direkodkan pada separuh pertama 2023. 

Namun, tiada data perbandingan untuk tahun-tahun sebelumnya.

Berdasarkan laporan, kira-kira 70 peratus daripada insiden itu berlaku di beberapa negeri yang dijangka mengadakan pilihan raya pada tahun ini dan 2024.

Antara negeri tersebut adalah Maharashtra, Karnataka, Madhya Pradesh, Rajasthan dan Gujarat yang menyaksikan jumlah tertinggi perhimpunan membabitkan ucapan kebencian.

Jelas laporan, Maharashtra menyumbang sebanyak 29 peratus daripada keseluruhan insiden terbabit.

Sebahagian besar acara ucapan kebencian menampilkan mesej teori konspirasi dan menggalakkan keganasan serta boikot sosio-ekonomi terhadap umat Islam.

Kira-kira 80 peratus daripada insiden itu berlaku di kawasan ditadbir Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi yang dijangka memenangi pilihan raya umum pada tahun depan.

Menurut Hindutva Watch, pihaknya menjejaki aktiviti kumpulan pelampau menerusi dalam talian, mengumpulkan video ucapan kebencian disiarkan di media sosial, selain mengumpulkan data mengenai kejadian yang dilaporkan oleh media.

Sementara itu, kerajaan pimpinan Narendra Modi menafikan penindasan berlaku terhadap kaum minoriti di India.

Sebelum ini, kumpulan hak asasi manusia mendakwa berlakunya penganiayaan terhadap penduduk Islam ketika di bawah pentadbiran Narendra Modi, yang menjadi Perdana Menteri pada 2014.

Mereka merujuk kepada undang-undang kewarganegaraan pada 2019 yang disifatkan sebagai ‘diskriminasi pada asasnya’ oleh pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana mengecualikan penduduk Islam.

Ia juga membabitkan undang-undang anti-penukaran yang mencabar hak kebebasan beragama dilindungi oleh Perlembagaan dan pembatalan status istimewa Kashmir yang majoriti penduduknya beragama Islam. 

Selain itu, kejadian perobohan hartanah milik orang Islam atas alasan menghapuskan pembinaan haram dan larangan memakai tudung di dalam kelas di Karnataka, ketika parti BJP berkuasa di negeri berkenaan. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya