BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin yang hadir pada sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, memaklumkan Thailand dijangka memperoleh pelaburan bernilai sekurang-kurangnya AS$5 bilion (RM23.4 bilion) daripada syarikat teknologi terkemuka Amerika Syarikat.
Thavisin yang berbincang dengan eksekutif peringkat tertinggi Tesla, Google, Microsoft, Citibank, JP Morgan dan Estee Lauder, mengesahkan minat mereka untuk melabur di Thailand.
Beliau berkata Tesla sedang meneroka kemungkinan mewujudkan kemudahan pembuatan Kenderaan Elektrik (EV), manakala Microsoft dan Google sedang menimbang potensi melaksanakan projek pusat data.
“Pelaburan awal dijangka mencecah AS$5 bilion,” kata Thavisin.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan sama ada komitmen kewangan ini merupakan usaha gabungan atau sumbangan individu setiap syarikat.
Selain itu, Thavisin berkata sebuah syarikat Thailand merancang penyenaraiannya di Bursa Saham New York (NYSE) dalam tahun semasa.
Untuk itu, beliau melawat NYSE pada Jumaat dan secara simbolik menekan loceng pembukaan untuk memulakan sesi dagangan.
Menjelang Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dijadualkan pada November di San Francisco, California, Thavisin mengumumkan rancangan untuk melibatkan diri dengan wakil daripada perusahaan asing bersaiz sederhana untuk mempromosi pelaburan di Thailand.
“Delegasi Thailand akan melakukan perjalanan dua hari lebih awal untuk bertemu wakil syarikat-syarikat ini,” katanya.