BEIJING: Tentera laut China dilaporkan mahu merekrut graduan cemerlang untuk menerbangkan pesawat perang, serta dalam proses menaikkan had umur bagi meluaskan pencariannya.
Dua langkah itu dilakukan ketika tentera laut China berusaha meningkatkan kelayakan anggota pasukan udara dan memperkuatkan lagi barisan tenteranya.
Selain menaik taraf aset daripada kapal perang kepada pesawat perang, China juga sedang berusaha meningkatkan kaliber para rekrutnya, memandangkan tentera dilihat sebagai kerjaya yang secara tradisinya digemari oleh golongan kurang berpendidikan.
Iklan tersebut disiarkan di platform media sosial WeChat.
Menerusi iklan itu, Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) memaklumkan sedang mencari graduan memiliki sarjana dalam sains dan kejuruteraan, serta yang berumur di bawah 26 tahun untuk menerbangkan pesawat dari kapal termasuk armada kapal pengangkut pesawat China.
Tahun lalu, China membenarkan mahasiswa berumur 24 tahun ke bawah untuk memohon buat kali pertama.
“Keperluan untuk bakat tentera berkualiti tinggi menjadi semakin penting dari hari ke hari.
“Misi dan tugas tentera laut semakin berkembang. Kepantasan anjakan strategik pasukan itu dipercepatkan,” jelas PLA dalam iklan tersebut.
Menurut iklan itu, calon mestilah lelaki yang tiada kaitan dengan politik dan tidak mempunyai rekod kesalahan disiplin.
Latihan yang diberikan merangkumi tiga hingga empat tahun mengenai kajian teori penerbangan serta latihan penerbangan praktikal.
Calon yang berjaya direkrut akan mendapat rawatan perubatan percuma untuk diri dan keluarga terdekat mereka, serta rumah disediakan kerajaan.
China menyasarkan untuk memodenkan pasukan tentera negara itu menjelang tahun 2035. – REUTERS