Tanpa 'segan silu' tuntut kawasan, peta baharu pamer kerakusan China

Tanpa ‘segan silu’ tuntut kawasan, peta baharu pamer kerakusan China

KAPAL pengawal pantai China melakukan rondaan di Second Thomas Shoal di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: China mencetuskan ketegangan semakin meningkat di rantau Asia Pasifik berikutan tindakan republik itu mendedahkan sebuah peta standard rasmi yang menggabungkan beberapa kawasan dipertikaikan.

Langkah itu sekaligus mencetuskan gelombang bantahan dari kebanyakan negara jiran.

Peta standard China 2023 dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli China merangkumi sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak serta beberapa kawasan di India yang dituntut oleh Beijing.

Peta itu secara jelas menunjukkan tuntutan Nine Dash Line atau `Sembilan Garis Putus’ yang antara lain mendakwa sebahagian besar Laut China Selatan menjadi kawasan penting global ketika republik itu membina pulau buatan di sana untuk memperkukuhkan tuntutannya.

Malah, peta itu turut mendakwa negeri Arunachal Pradesh di India, Dataran Tinggi Doklam dan wilayah Aksai Chin sebagai antara tuntutan republik itu.

Penganalisis geopolitik Kervin AuCoin berpandangan peta baharu itu `sememangnya sudah meningkatkan ketegangan serantau dan mencetuskan kebimbangan’ khususnya di Laut China Selatan.

TUNTUTAN DENGAN INDIA

Selama beberapa dekad lama China dan India bertelagah mengenai tuntutan bertindih di Himalaya.

Bagaimanapun, AuCoin berkata, pertempuran sempadan baru-baru ini antara kuasa semakin meningkat berjaya dihalang.

“Apa yang kita perlu mengetahui adalah peta baharu itu tidak semestinya meningkatkan potensi konflik secara serta-merta.

“Pertempuran sempadan antara China dan India baru-baru ini diatasi dengan sekatan dan pemimpin dari kedua-dua negara menyatakan kesanggupan untuk meredakan ketegangan,” katanya kepada Daily Express US.

Bagaimanapun, tuntutan bertindih itu boleh menjadi masalah pada masa hadapan.

“Situasi kekal dinamik dan tindakan provokatif selanjutnya boleh meningkatkan risiko konflik,” katanya.

LAUT CHINA SELATAN

Tuntutan republik itu membabitkan `Sembilan Garis Putus’ dan maritim di Laut China Selatan mencetuskan `kemarahan’ dalam kalangan negara lain di rantau ini dengan tuntutan bertindih.

Beijing berusaha `memegang’ sejumlah kawasan wilayah maritim di rantau itu yang bercanggah dengan tuntutan dibuat oleh Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei sehingga mencetuskan pertembungan dengan beberapa negara tersebut.

Bulan lalu, Filipina menuduh kapal Pengawal Pantai China meletupkan salah sebuah kapal membawa bekalan ketenteraan dengan meriam air di Laut China Selatan.

Ketenteraan China termasuk pulau buatan republik itu di rantau berkenaan juga mencetuskan krisis dengan negara pulau jirannya.

Begitu juga, tuntutan Beijing di Laut China Selatan yang mencetuskan ketegangan dengan Vietnam.

Malah, Hanoi pula mengharamkan penayangan filem Barbie di semua pawagam di negara itu berikutan babak dalam filem komedi fantasi yang memaparkan peta menunjukkan wilayah dituntut secara unilateral oleh China di Laut China Selatan.

“Malaysia bertelagah dengan Beijing berhubung beberapa tuntutan di rantau itu terutamanya Kepulauan Spratly manakala Brunei juga mempunyai tuntutan di Laut China Selatan sekali gus merumitkan lagi keadaan,” katanya.

Laut China Selatan dianggap amat penting kerana rantau itu menjadi laluan perkapalan utama.

“Laut China Selatan berperanan sebagai laluan perdagangan global yang penting, memudahkan kira-kira AS$3 trilion (RM13.9 trilion) dalam perdagangan tahunan termasuk eksport besar dari Australia dan New Zealand.

“Jadi, sebarang gangguan kepada perkapalan di rantau ini akan mempunyai kesan ekonomi buruk kepada kedua-dua negara,” katanya.

Selain itu, AuCoin berkata, `rizab besar minyak dan gas asli’ yang terdapat di bawah dasar laut boleh memberi kelebihan kepada Beijing dari segi ekonomi sekiranya mahu mendapatkan wilayah berkenaan.

“Ia juga terletak berdekatan laluan utama laut termasuk Selat Melaka dan Selat Sunda.

“Penguasaan China di rantau itu boleh memberikan kelebihan strategik yang besar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya