BANGKOK: Bagi jutaan pelancong China, Thailand merupakan destinasi percutian ‘syurga’ buat mereka, selain menjadi lubuk pelbagai makanan lazat.
Namun, imej Thailand tercalar apabila khabar angin dalam media sosial dan sebuah filem pecah panggung menjadikan pelancong China takut dan jika boleh, tidak mahu datang ke negara ini.
Keadaan itu sekali gus menjadikan jumlah pelancong asing masuk ke Thailand merosot teruk.
Hal ini kerana, Thailand bergantung kepada pelancong luar, terutamanya dari China untuk membangunkan semula ekonomi selepas dilanda pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, industri pelancongan negara ini mungkin sekali lagi merudum apabila khabar angin yang tersebar luas dalam media sosial mendakwa pelancong yang datang ke Thailand mungkin akan diculik dan dihantar ke Myanmar dan Kemboja untuk bekerja sebagai ‘scammer’.
Seorang pelancong dari China, Jia Xueqiong menghabiskan masa selama seminggu di Thailand bersama suami dan anak perempuannya biarpun ibu bapanya membantah rancangan percutian mereka.
“Ibu bapa saya berpandangan tidak selamat berada di Thailand dan cuba memujuk kami supaya tidak datang ke sini.
“Semua rakan saya suruh saya datang dulu ke Thailand untuk lihat keadaan bagaimana, jika selamat, barulah mereka datang ke sini,” katanya.
Ketakutan pelancong China mengenai khabar angin tersebut ditambah lagi dengan tayangan filem pecah panggung ‘No More Bets’ yang berdasarkan kisah benar, menyaksikan seorang pengaturcara komputer terperangkap dalam jenayah scam di Asia Tenggara selepas diseludup masuk ke negara yang tidak didedahkan, namun mereka percaya ia adalah Thailand.
Filem yang ditayangkan pada Ogos lalu itu kini menjadi tiga filem paling popular di China.
Bagi seorang pelajar China, Leanna Qian, 22, berkata, sesetengah maklumat mungkin sengaja diperbesarkan, namun dia masih mengambil langkah berjaga-jaga untuk melancong ke Thailand.
“Saya takut jika saya dibawa ke Myanmar atau Kemboja,” ujarnya.
TIDAK BENAR
Thailand merekodkan kemasukan pelancong China sebanyak 11 juta pada 2019, namun sejak 2023, hanya 2.3 juta pelancong dari negara itu datang ke Thailand.
Pada minggu lepas, kerajaan Thailand mengumumkan pelancong China tidak memerlukan visa untuk masuk ke negara ini bagi meningkatkan semula kemasukan mereka.
Presiden Persatuan Ejen Pelancongan Thailand, Sisdivachr Cheewarattanaporn berkata, khabar angin yang tersebar itu menyebabkan jumlah kemasukan pelancong semakin berkurang.
“Perkara itu tidak berlaku di Thailand, namun negara ini menjadi sasaran,” katanya.
Kedutaan Thailand di Beijing turut mengeluarkan kenyataan yang menegaskan jenayah itu tidak berlaku di negara ini, selain memberi jaminan kepada semua pelancong mengenai keselamatan mereka.
TIADA PELANCONG CHINA DI KEMBOJA
Di Kemboja, rakan sejawat Sisdivachr iaitu Chhay Sivlin memaklumkan keadaan mereka lebih teruk apabila syarikatnya tidak menerima kemasukan seorang pun pelancong China pada tahun ini.
Kebanyakannya menyatakan mereka takut ke Kemboja atas faktor keselamatan.
TIDAK KEMBALI
Di China, semua ejen pelancongan menukar destinasi pelancongan luar negara kepada percutian dalam negara.
Hal itu berkaitan dengan usaha kerajaan Beijing yang mahu meningkatkan semula pelancongan domestik susulan terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.
Seorang pekerja ejen pelancongan, Guo menyatakan banyak rakyat China lebih selesa melancong dalam negara ketika ini.
“Mereka tidak mahu ke luar negara, terutamanya Thailand kerana bimbang mereka tidak akan kembali ke negara sendiri. – AFP