TAIPEI: Sekurang-kurangnya 28 pesawat pejuang dikesan terbang mengelilingi Taiwan hari ini, kata pihak berkuasa Taipei.
Menurut pihak berkuasa, kebanyakan pesawat pejuang itu melintasi garis tengah Selat Taiwan untuk misi ‘jarak jauh’ yang tidak ditentukan.
Kementerian Pertahanan Taiwan memaklumkan sebanyak 20 pesawat dikesan menceroboh negara itu sejak pagi tadi, melintasi garisan median laluan air yang memisahkan Taiwan dan tanah besar China.
Jelas kementerian, pesawat berkenaan memasuki zon pengenalan pertahanan udara tenggara dan barat daya wilayah separa autonomi itu.
“China sedang menjalankan misi seperti latihan jarak jauh’.
“Pihak berkuasa sedang memantau situasi itu dengan pesawat dan kapal peronda,” jelas kementerian dalam kenyataan.
Beijing mendakwa Taiwan sebagai wilayah sendiri dan akan merampas pulau itu suatu hari nanti walaupun terpaksa menggunakan kekerasan jika perlu.
China juga sudah meningkatkan tekanan ketenteraan dan diplomatik ke atas wilayah separa autonomi itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila hubungan semakin memburuk.
Minggu lalu, Taipei melaporkan peningkatan kes pencerobohan dilakukan oleh pesawat dan kapal perang China, selepas Beijing menyatakan pasukan tenteranya berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan dua kapal milik Amerika Syarikat (AS) dan Kanada melakukan transit melalui Selat Taiwan pada bulan ini.
Kementerian Pertahanan Taiwan memaklumkan sebanyak 68 pesawat China dan 10 kapal tentera laut dikesan di sekitar pulau itu antara pagi Rabu dan Khamis lalu.
Menurut kementerian, sebahagian pesawat dan kapal perang sedang menuju ke kawasan yang tidak ditentukan di Pasifik Barat dipercayai untuk melakukan latihan laut dan udara bersama dengan kapal pengangkut pesawat Shandong China.
Pihak berkuasa Taiwan mengesahkan Shandong dikesan pada Isnin lalu sekitar 110 kilometer tenggara Taiwan menuju ke Pasifik Barat.
Bagaimanapun, China enggan mengulas lanjut mengenai sebarang latihan dijalankan di Pasifik Barat. – AFP