STOCKHOLM: Parti pembangkang terbesar Sweden semalam menggesa kerajaan supaya mengerahkan lebih banyak tentera bagi mengawal krisis yang berlaku di seluruh negara selepas 11 orang ditembak mati dalam bulan ini.
Dua orang terbunuh dalam insiden tembakan di Stockholm, kelmarin dan seorang wanita muda yang dipercayai orang awam maut apabila sebuah rumah meletup akibat dibom di Uppsala pada awal pagi semalam.
“Ini bukan Sweden, Sweden bukan negara pengganas.
“Rondaan keselamatan yang dilakukan polis juga boleh dilakukan oleh anggota tentera kerana mereka mempunyai pengetahuan teknikal yang lebih meluas,” kata pemimpin Parti Demokrat Sosial, Magdalena Andersson.
Polis Sweden menganggarkan kira-kira 30,000 rakyat negara ini mempunyai kaitan secara langsung dengan kumpulan penjenayah.
Insiden keganasan yang berlaku di Sweden juga berlaku di beberapa bandar utama sehingga ke pekan kecil.
Pada awal minggu ini, dua orang maut ditembak dan dua lagi cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah bar di Sandviken.
Kesemua 11 kes kematian akibat tembakan itu secara tidak langsung menjadikan September sebagai bulan paling ‘tidak stabil’ sejak Disember 2019.
“Konflik jenayah di Sweden merupakan ancaman serius terhadap keselamatan rakyat dan negara.
“Orang yang tidak bersalah menjadi mangsa. Kami buat semua yang termampu untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta negara.
“Polis bersama masyarakat akan berganding bahu untuk menghentikan situasi tidak selamat di Sweden,” kata Ketua Polis Sweden, Anders Thornberg.
Sementara itu, Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson memaklumkan beliau berjumpa dengan ketua polis dan ketua tentera bagi melihat bagaimana pasukan tentera boleh membantu polis dalam mencegah konflik jenayah di negara ini.
“Kita akan buru semua kumpulan penjenayah itu, kita akan kalahkan mereka,” tegasnya. – AFP/REUTERS