LONDON: Mahkamah United Kingdom (UK) mengenakan hukuman penjara terhadap pasangan suami isteri dari Paris, Perancis kerana menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Vietnam ke negara itu di dalam sofa yang diubah suai.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, Mahkamah Hove Crown di selatan England menjatuhkan hukuman itu ke atas Junior Toussaint dan Andrene Paul, masing-masing empat tahun enam bulan, dan lima tahun lima bulan.
Pasangan itu yang pernah bekerja bersama sebagai pemandu penghantaran barang di Perancis, mengaku bersalah membantu penyeludupan manusia yang menyalahi undang-undang ke UK.
Memulakan perjalanan dari Dieppe di utara Perancis ke Pelabuhan Newhaven, dekat pantai selatan Inggeris pada April awal tahun ini, mereka menggunakan perabot untuk menyembunyikan seorang wanita Vietnam dan tiga kanak-kanak di belakang van sewa.
Pegawai dari Pasukan Sempadan UK curiga apabila mereka menggeledah van dan melihat pergerakan dari dalam sofa yang diubahsuai, diletakkan di bawah tilam dan perabot lain.
Dua pendatang asing disembunyikan di dalam sofa manakala yang lain disembunyikan di antara kelengkapan lain termasuk peti laci.
Defendan memberitahu pihak berkuasa yang mereka tidak mengetahui ada pendatang di dalam van itu dan hanya memandu untuk menghantar perabot itu di London.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, menerusi pemeriksaan cap jari yang dilakukan kemudian oleh Pasukan Pengawal Sempadan, membuktikan pembabitan Toussaint dalam cubaan penyeludupan itu.
Paul yang pada mulanya turut menafikan pembabitannya, didapati telah membuat beberapa siri lawatan mencurigakan ke UK pada awal tahun ini.
Kementerian itu berkata, dia mengaku bersalah apabila bukti video aktivitinya sebelum ini ditunjukkan di mahkamah.
“Penjenayah akan melakukan tindakan melampau untuk menyeludup orang merentasi sempadan UK demi keuntungan dan kami sentiasa berusaha mengekang tindakan mereka.
“Hukuman hari ini menggambarkan betapa teruknya jenayah yang dilakukan mereka,” kata pegawai dari bahagian penyiasatan jenayah dan kewangan kementerian itu, Chris Foster. – AFP