SINGAPURA: Imej Singapura sebagai hab perniagaan bersih tercalar ekoran skandal besar pengubahan wang haram yang setakat ini mengakibatkan penahanan 10 individu dan rampasan aset bernilai 1.8 bilion dolar Singapura (RM6.3 bilion).
KES TERBESAR
Polis Singapura bulan lalu menahan 10 warga asing berumur antara 31 hingga 44 tahun selain merampas pelbagai barangan mewah termasuk beg tangan Hermes, jam tangan Patek Philippe, serta kereta Bentley dan Rolls-Royce.
Kesemua suspek berasal dari Fujian di timur China tetapi beberapa antaranya turut memegang pasport Cyprus, Turkiye, Kemboja dan Vanuatu.
Pasukan polis Singapura mendakwa aset yang dirampas itu adalah hasil jenayah terancang di luar negara termasuk penipuan dan perjudian dalam talian tetapi dibawa masuk ke Singapura dan ditapis melalui institusi kewangan negara itu.
Kes itu menjejaskan reputasi Singapura sebagai hab kewangan jenayah rendah yang dikendalikan dengan baik atau sering digelar Switzerland of the East.
Jenayah itu juga mencetus berita buruk untuk parti pemerintah Singapura selepas digegarkan oleh rentetan skandal politik yang jarang berlaku sejak beberapa bulan lalu termasuk siasatan rasuah melibatkan Menteri Pengangkutan, S. Iswaran.
REPUTASI JADI PUNCA
Menurut penganalisis, negara kota Asia Tenggara itu menjadi sasaran kerana statusnya sebagai hab kewangan utama yang menawarkan pelbagai instrumen.
“Jumlah besar transaksi kewangan yang mengalir melalui sempadan kita boleh menyukarkan pengawal selia untuk menyaring transaksi haram.
“Pengubahan wang haram boleh dijalankan melalui pelbagai saluran daripada hartanah dan mata wang kripto kepada kasino dan syarikat tersenarai,” kata Felo Penyelidik Kanan Institut Kajian Dasar Universiti Nasional Singapura, Woo Jun Jie kepada Al Jazeera.
Pakar Tadbir Urus Korporat NUS Business School, Mak Yuen Teen berkata, kes pengubahan wang haram sering melibatkan entiti di British Virgin Islands dan bidang kuasa syurga cukai lain di mana pemilik benefisial muktamad tidak didedahkan.
“Kebimbangan saya ialah ‘lubang arnab’ itu kini sangat dalam dan lebar,” katanya.
Profesor Undang-Undang Bersekutu Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Eugene Tan pula berpendapat, republik itu menarik kepada pengubahan wang haram kerana dana kurang dicurigai apabila mereka memasuki sistem kewangannya.
Katanya, perkara itu disebabkan reputasi Singapura sebagai hab kewangan yang dipercayai berdasarkan undang-undang dan penguatkuasaan ketat yang dijalankan sebelum ini.
“Dengan cara yang sama, pengedar dadah bersedia untuk transit di negara ini kerana negara dunia ketiga jarang merasa sangsi atau syak wasangka terhadap penumpang dari Singapura memandangkan undang-undang dadah kami yang sangat ketat.
“Pengubahan wang haram bersedia untuk mengambil sedikit risiko kerana faedah dapat mencuci wang di sini memudahkan mereka untuk memindahkan dana ke bidang kuasa lain seperti United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU), berbanding mencuci wang dalam bidang kuasa tersebut.
“Imej Singapura sebagai ‘taman permainan untuk orang kaya’ juga mungkin menambah persepsi tersebut. Saya pernah dengar bank di sini menerima aliran masuk kewangan, walaupun laporan transaksi yang mencurigakan difailkan,” katanya.
DUNIA MEMERHATI
Pihak Berkuasa Kewangan Singapura dilaporkan membangunkan platform digital, COSMIC untuk membolehkan institusi kewangan berkongsi maklumat dengan selamat tentang pelanggan yang mempamerkan potensi jenayah kewangan.
Peraturan baharu pada bulan Jun juga mewajibkan pemeriksaan wajar oleh pemaju hartanah ke atas bakal pembeli dan melaporkan sebarang amalan yang mencurigakan.
Dalam pada itu, Tan berkata, kes terbaharu yang membelenggu Singapura menunjukkan pendirian tegas pihak berkuasa terhadap entiti yang tidak patuh.
Singapura sebelum ini terlibat dalam beberapa skandal kewangan di mana bank didenda dan individu dijatuhkan hukuman penjara termasuk melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Dunia sedang memerhati bagaimana kita menangani perkara ini.
“Realitinya adalah skala pelanggaran membuatkan rakyat Singapura tertanya-tanya sama ada ini hanyalah puncak gunung ais. Apabila siasatan diteruskan, akan ada lebih banyak berita yang membimbangkan,” katanya.