'Saya tidak tahu mahu selamatkan ibu ayah atau anak dahulu'

‘Saya tidak tahu mahu selamatkan ibu ayah atau anak dahulu’

TAYEB Ait Ighenbaz dan anak lelakinya Adam berdiri berhampiran rumah mereka yang musnah akibat gempa bumi di Maghribi.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RABAT: Tayeb Ait Ighenbaz terpaksa memilih sama ada untuk menyelamatkan anak lelakinya yang berusia 11 tahun atau ibu bapanya ketika mereka terperangkap di bawah runtuhan selepas gempa bumi melanda Maghribi Jumaat lalu.

Pengembala kambing dari komuniti kecil di Pergunungan Atlas itu berkata, sehingga kini dia dihantui oleh keputusan yang perlu dibuat waktu itu.

Tayeb bersama isteri, dua anak dan ibu bapanya berada di rumah kecil mereka apabila tiba-tiba dikejutkan oleh gempa bumi yang tidak pernah dirasai sebelum ini

“Semuanya berlaku dengan pantas. Apabila gempa bumi berlaku, kami semua berlari ke pintu. Ayah saya sedang tidur dan saya menjerit kepada ibu saya supaya cepat keluar, tetapi dia ke belakang untuk menunggu ayah,” katanya.

Di seberang jalan,Tayeb menyedari hanya ada isteri dan anak perempuannya.

Ketika dia kembali ke dalam rumahnya yang sedang runtuh, Tayeb mendapati anak lelakinya dan ibu bapanya masih terperangkap.

Dia dapat melihat tangan anaknya mencucuk-cucuk dari bawah runtuhan itu.

Tayeb sedar dia harus bertindak cepat, dan tanpa berfikir panjang terus sahaja menuju ke arah anaknya Adam sebelum bermati-matian menggali runtuhan untuk menariknya keluar.

Namun ketika dia berpaling untuk membantu ibu bapanya, Tayeb menyedari sudah terlambat kerana mereka dihempap kepingan batu yang besar.

“Saya terpaksa memilih antara ibu bapa dan anak saya.

“Saya tidak dapat membantu ibu bapa saya kerana dinding rumah runtuh menghempap separuh badan mereka. Ia sangat menyedihkan. Saya hanya mampu melihat ibu bapa saya mati,” katanya dengan linangan air mata.

Tayeb turut menunjukkan kesan darah kedua ibu bapanya yang masih melekat pada seluar jeans berwarna terang yang dipakainya.

Sejak gempa berlaku, dia dan ahli keluarganya yang terselamat masih belum sempat menukar pakaian dan tinggal bersama saudara mara di khemah sementara berhampiran dengan serpihan rumah mereka.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya