JUNEAU: Pasukan penyelidik bingung dengan penemuan objek misteri berwarna emas dengan lubang di dalamnya seakan telur yang sudah menetas di kawasan dasar laut di pantai Alaska baru-baru ini.
Objek berkilat yang terasa halus ketika disentuh seperti tisu kulit itu ditemui pada hari kelapan ekspedisi Seascape Alaska yang dijalankan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA).
Walaupun pakar masih belum dapat memastikan kandungan objek aneh itu, ramai mencadangkan ia mungkin kelongsong telur atau sisa span marin.
“Sesuatu cuba masuk atau keluar dari objek ini. Objek seakan kulit telur ini ditemui sedalam 3.2 kilometer,” kata salah seorang penyelidik NOAA ketika penemuan itu yang turut disiarkan secara langsung dalam talian.
Pegawai NOAA menggunakan alat penyepit yang dikendalikan dari jauh untuk menarik objek itu dan mengalihkannya daripada kawasan berbatu.
Objek itu kemudian disedut ke atas tiub sebelum dibawa naik ke pantai dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di makmal diharapkan dapat mendedahkan maklumat lebih lanjut tentang asal usulnya.
Profesor Ekologi Laut Dalam Universiti Plymouth, Kerry Howell bersetuju bahawa objek itu sangat pelik.
“Dalam 20 tahun saya meneroka laut dalam, saya tidak pernah melihat apa-apa seperti itu. Saya tidak sabar mendapatkan analisis sampel tersebut.
“Terdapat banyak spesies yang belum ditemui di laut dalam jadi ini boleh dikaitkan dengan spesies baharu. Lubang itu boleh menjadi tempat makhluk menyedut dan menghembus nafas jika ia adalah span, atau tempat haiwan itu menetas jika ia adalah kulit telur,” katanya.