Riyadh akui normalisasi dengan Israel semakin hampir

Riyadh akui normalisasi dengan Israel semakin hampir

PUTERA Mohammed (kanan) bertemu Joe Biden di Istana Al-Salam di pelabuhan Laut Merah Jeddah tahun lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman mengakui negaranya kini semakin hampir untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel.

Ini berikutan langkah serupa dari negara-negara Teluk lain di tengah-tengah desakan besar oleh Amerika Syarikat (AS) untuk merealisasikan perjanjian Saudi-Israel.

NORMALISASI HUBUNGAN DENGAN REJIM ZIONIS

Temu bual dengan Putera Mohammed dibuat ketika pentadbiran Presiden AS, Joe Biden meneruskan usaha untuk menjadi ‘broker’ hubungan bersejarah antara dua kuasa besar serantau itu yang turut merupakan sekutu utama Washington di Asia Barat.

“Setiap hari, kami semakin dekat,” kata Putera Mohammed kepada penyiar AS, Fox News.

Rundingan normalisasi yang kompleks itu melibatkan kemungkinan konsesi Israel kepada Palestin.

Putera Mahkota itu memberitahu Fox’s, Special Report bahawa isu Palestin adalah sangat penting kepada Riyadh dan menegaskan mahu menyelesaikan perkara itu ketika ditanya apa yang diperlukan untuk mendapatkan perjanjian normalisasi tersebut.

“Kita perlu lihat ke mana kita pergi. Kami berharap ia akan sampai ke satu tahap di mana ia akan meringankan kehidupan rakyat Palestin dan menjadikan Israel sebagai pemain di Asia Barat,” katanya.

Perbincangan mengenai jaminan keselamatan AS dan bantuan nuklear awam yang diminta Riyadh turut menjadi antara intipati penting rundingan tersebut.

Dalam temubual sama, Putera Mohammed menegaskan bahawa jika Iran mendapat senjata nuklear, Arab Saudi juga perlu mendapatkannya.

Teheran menafikan mencari senjata nuklear, tetapi menjadi pusat kecurigaan antarabangsa mengenai program nuklearnya selama bertahun-tahun.

Pegawai AS secara peribadi menggembar-gemburkan potensi manfaat perjanjian mega serantau itu, yang akan menjadi kemenangan dasar luar yang besar bagi Biden dalam usahanya untuk dipilih semula pada November 2024.

TERIMA TENTANGAN IRAN

Putera Mohammed, Biden dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan mengadakan pertemuan kelmarin di mana mereka berjanji untuk bekerjasama ke arah normalisasi Israel-Saudi, yang boleh membentuk semula geopolitik Asia Barat.

Dalam pada itu, Presiden Iran, Ebrahim Raisi menuduh Arab Saudi mengkhianati Palestin dengan berusaha untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel.

“Permulaan hubungan antara rejim zionis dan mana-mana negara di rantau ini, jika ia bertujuan untuk membawa keselamatan kepada rejim zionis, pastinya tidak harus dijalankan.

“Kami percaya bahawa hubungan antara negara serantau dan rejim zionis seumpama menikam belakang rakyat Palestin dan seakan menentang hak mereka,” katanya.

Arab Saudi dan Israel lama bermusuhan dengan Iran walaupun Riyadh bergerak untuk meredakan ketegangan dengan Teheran melalui rundingan yang diusahakan oleh China.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN