DEPOK: Pasukan penyiasat Polis Metro Jaya selesai melakukan siasatan dan mengambil sampel di sebuah rumah yang menyaksikan rangka mayat ibu dan anak ditemukan di Cinere, Depok.
Rumah dua tingkat milik Grace Arijani Harahapan,68 dan David Ariyanto Wibowo, 38, yang ditemukan dalam keadaan rangka.
Siasatan di rumah itu berlangsung selama dua setengah jam dan merupakan kali kedua dilakukan.
Jurucakap Polis Metro Jaya, Samian memberitahu, siasatan kali kedua di lokasi kejadian dilakukan bagi mengenal pasti gaya hidup dua beranak itu.
“Pasukan penyiasat meneliti pelbagai aspek yang ada di dalam rumah tersebut yang boleh menyebabkan kedua-dua beranak itu meninggal dunia.
“Kami berharap selepas siasatan dilakukan, polis boleh menyimpulkan punca dan bagaimana mereka meninggal dunia, sama ada dibunuh atau mati mengejut,” katanya.
Antara yang ditemukan polis termasuk sejumlah resit bayaran dan bekas makanan.
Terdahulu, mayat seorang wanita dan anak lelakinya ditemukan dalam keadaan rangka di rumah mereka di Depok, Jawa Barat pada Khamis lalu.
Kedua-duanya ditemukan dalam keadaan bersandar di dinding tandas yang tidak berkunci.
Ketika di lokasi kejadian, polis juga menemukan bungkusan coklat dan nota tertulis ‘to you whomever’ dalam komputer riba.