WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menjangkakan kemungkinan lonjakan Covid-19 pada musim sejuk dan mengumumkan kerajaan akan menawarkan semula program ujian coronavirus percuma kepada rakyat secara pos.
Kerajaan akan membelanjakan AS$600 juta (RM2.81 bilion) untuk membeli kit ujian daripada pengeluar domestik dan laman sesawang program itu, covidtests.gov, akan mula menerima tempahan mulai Isnin, dengan setiap rumah menerima empat kit ujian.
Penolong Setiausaha Kesiapsiagaan dan Tindak Balas di Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia, Dawn O’Connell, berkata dana itu akan membiayai pembelian 200 juta kit ujian termasuk memastikan bekalan sentiasa diperoleh.
Pada masa sama, kata O’Connell, pihaknya akan meningkatkan kapasiti pengeluaran domestik sekiranya Covid-19 menjadi lebih serius.
Sekiranya permintaan meningkat, jabatannya sudah memberi kebenaran kepada kerajaan untuk terus menjual ujian itu kepada orang ramai.
Kemasukan ke hospital akibat Covid-19 meningkat di AS walaupun penularan kekal rendah berbanding tempoh awal pandemik itu dan ujian percuma menjadi lebih sukar untuk diperoleh bagi kebanyakan rakyat AS.
Walaupun penanggung insurans swasta sebelum ini dikehendaki menanggung sehingga lapan ujian di rumah setiap bulan, keperluan itu berakhir apabila pentadbiran Biden membenarkan darurat kesihatan awam untuk Covid-19 tamat pada Mei.
Kerajaan mula menawarkan ujian Covid-19 di rumah percuma melalui Perkhidmatan Pos awal tahun lalu selepas varian Omicron mengakibatkan bilangan kes meningkat.
Lebih 600 juta ujian diedarkan sebelum pegawai menghentikan program itu lewat musim panas, dengan alasan kekurangan dana.
Kerajaan kemudian menyambung semula tawaran ujian lewat tahun lalu sebelum menghentikan program itu sekali lagi pada musim bunga.
Pengumuman semalam dibuat ketika Setiausaha Kesihatan Biden, Xavier Becerra, berusaha meningkatkan minat terhadap vaksin Covid-19 yang baru diluluskan dengan mendapatkan suntikan Covid-19 dan selesema sendiri di farmasi CVS di Washington.
Minggu lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit mengesyorkan semua rakyat AS yang berumur enam bulan ke atas menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 yang dirumus semula daripada Pfizer-BioNTech dan Moderna.