NEW YORK: Gimik pemasaran sebuah syarikat makanan ringan untuk mempromosikan kerepek pedas baharu keluarannya tidak menjadi apabila satu kes kematian dikaitkan dengan produk berkenaan.
AP melaporkan, syarikat pengeluar Paqui menerusi produknya, ‘One Chip Challenge’, telah serta-merta menarik produk kerepek pedasnya dari pasaran susulan kes kematian seorang remaja dari Massachusetts, Amerika Syarikat.
Sementara keputusan bedah siasat bagi pelajar gred 10, Harris Wolobah, itu masih ditunggu, keluarganya mendakwa produk dan trend tular “One Chip Challenge” menjadi punca kematiannya pada 1 September lalu.
Produk berkenaan meminta peserta cabaran supaya memakan sekeping kerepek tersebut dan diuji selama mana seseorang itu mampu bertahan pada rasa pedas, tanpa meminum air atau mengambil makanan lain.
Kepingan tunggal kerepek yang dibungkus secara khusus itu membuatkan ramai individu menyahut cabaran berkenaan. Remaja dan kanak-kanak tidak terkecuali mahu mencubanya, dan kemudian memuat naik pengalaman itu ke media sosial. Terdapat video yang menunjukkan pemakan kerepek itu terbatuk, tersedak dan merayu untuk diberikan air segera.
Sejak kematian Wolobah, Paqui meminta peruncit untuk berhenti menjual produk berkenaan, sementara pakar kesihatan mengeluarkan amaran tentang bahaya mengambil produk makanan yang terlalu pedas.
Insiden itu telah menarik perhatian umum tentang trend popular dalam talian masa kini, yang antara lain mencabar pengguna mencuba produk makanan pedas.
Cabaran makanan pedas sudah dikenali sejak sedekad lalu. Dari pertandingan memakan lada mentah hingga restoran yang menawarkan pengiktirafan kepada pelanggan yang dapat menghabiskan hidangan pedas.
Di Asia misalnya, banyak produk mi segera dari pelbagai negara yang memasukkan elemen ‘cabaran pedas’ dalam produk keluaran masing-masing.
Masyarakat di seluruh dunia yang dibantu oleh media sosial, sudah kerap saling mencabar diri masing-masing untuk mencuba makanan pedas, tanpa memikirkan bahawa dalam situasi tertentu, ada risiko yang menanti.
“Banyak cabaran di media sosial ini diglamorkan. Jumlah ‘Like’ dan komen menjadi indikator tentang status sosial dan populariti seseorang bagi setiap cabaran ini, namun anda tidak lihat kemungkinan negatif di sebaliknya – seperti dikejarkan ke bilik kecemasan atau kecederaan lain,” ujar profesor psikologi di Florida International University, Elisa Trucco.
Sementara itu, seorang profesor pemasaran di Northeastern University, Alexander DePaoli, pula berkata, pengguna kini sengaja meletakkan diri mereka yang menempuhi ketidakselesaan dan kemudian berkongsi tentangnya di dalam talian, hanya untuk rasa diri mereka “tergolong dalam satu kumpulan”.