BERN: Polis di Switzerland menemukan mayat seorang pendaki lelaki dari Britain yang dilaporkan hilang sejak tiga bulan lalu.
Lapor The Guardian, perkara itu disahkan oleh keluarga lelaki berkenaan.
Aidan Roche, 29, yang merupakan jurutera kimia dari Middlesbrough, kali terakhir dilihat pada 22 Jun lalu semasa mendaki jejak Eiger di kawasan Grindelwald di Pegunungan Alps, kira-kira 80 kilometer (km) dari Berne.
Abang mangsa, Connor Roche berkata, polis memaklumkan keluarganya mengenai penemuan mayat Aidan berhampiran laluan itu pada minggu lalu.
“Berita kematian Aidan mengejutkan kami sekeluarga, walaupun kami sudah menjangkakannya sejak beberapa bulan lalu.
“Bagi pihak keluarga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang membantu kami melalui situasi itu.
“Malah, sokongan diterima daripada penduduk juga membantu kami melalui semua cabaran dan kesedihan serta menunjukkan betapa Aidan disayangi ramai,” katanya.
Connor turut menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pihak yang memberikan mesej sokongan, berkongsi gambar dan poster Aidan dalam talian serta sumbangan untuk membantu mencarinya.
“Semua ini amat membantu untuk membawa dia pulang kepada kami. Terima kasih,” katanya.
Dilaporkan, Roche sedang bercuti melakukan aktiviti perkhemahan selama dua minggu.
Ketika kejadian, Roche dipercayai berjalan pulang ke karavannya selepas melawat glasier apabila dia dilaporkan hilang.
Sebelum ini, dana sejumlah 32,000 pound (RM183,024) berjaya dikumpul untuk membiayai kempen pengiklanan dalam usaha memberi petunjuk baharu kepada pihak berkuasa Switzerland dalam mencari Roche.
Dana itu juga membantu membayar kos penggunaan helikopter yang digunakan oleh anggota pasukan mencari Roche.