WARSAW: Poland memaklumkan tidak akan lagi membekalkan senjata kepada Ukraine, sebaliknya memutuskan untuk memberi tumpuan kepada pertahanannya sendiri.
Keputusan mengejut itu dibuat semasa pertelagahan peribadi kedua-dua negara bersekutu itu berhubung eksport bijirin, ketika Kyiv berusaha menentang pencerobohan Russia.
Susuan perbalahan semakin meningkat mengenai eksport bijirin dari Ukraine, Poland memanggil Duta Ukraine untuk menyatakan bantahan terhadap kenyataan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pemimpin Ukraine itu mengatakan beberapa negara hanya berpura-pura menyokong negaranya melakukan serangan balas untuk merampas semula tanah yang diambil oleh Russia, sekali gus membuatkan Warsaw tersinggung.
Ia kerana Poland sebelum ini adalah antara penyokong tegar Ukraine selepas Russia menyerang negara itu pada Februari 2022, dan menjadi antara pembekal senjata utama Kyiv.
Kebanyakan senjata yang dihantar oleh Amerika Syarikat (AS) dan negara lain ke Ukraine dihantar melalui Poland, yang bersempadan dengan Ukraine di bahagian barat.
Poland juga menjadi tempat kepada kira-kira satu juta pelarian dari Ukraine, yang mendapat manfaat daripada pelbagai jenis bantuan.
Persaingan antara Warsaw dan Kyiv tercetus berikutan larangan Poland mengimport bijiran dari Ukraine, dengan tujuan melindungi petaninya sendiri.
Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki, yang ditanya sama ada negaranya akan terus menyokong Kyiv susulan percanggahan itu, berkata pihaknya tidak lagi menghantar senjata ke Ukraine kerana mahu melengkapkan Poland dengan senjata lebih moden. – AFP