JAKARTA: Sejumlah masyarakat menzahirkan rasa tidak puas hati mengenai tahap ketinggian pintu tren Transit Aliran Ringan (LRT) Jabodebek atau ‘Greater Jakarta’ yang disifatkan terlalu rendah.
Pintu LRT itu direka bersesuaian dengan tinggi kebanyakan masyarakat Indonesia yang purata berketinggian 160 sentimeter.
Bagi penumpang yang berbadan besar atau lebih tinggi, mereka perlu menunduk untuk masuk ke dalam tren ekoran pintu yang rendah.
Malah, masyarakat turut memaklumkan Presiden Joko Widodo (Jokowi) juga tidak sesuai untuk menaiki LRT kerana beliau memiliki ketinggian 175 sentimeter.
Sehubungan itu, beliau juga perlu menunduk untuk masuk ke dalam LRT.
Keluhan masyarakat itu mendapat perhatian penganalisis kenderaan merangkap Pengarah Eksekutif Institut Pengajian Pengangkutan (Instran), Deddy Herbambang.
Beliau menyatakan ‘kekesalan’ ekoran tahap ketinggian pintu pengangkutan awam itu tidak mengikut standard antarabangsa.
Katanya, pengangkutan awam yang lain seperti Mass Rapid Transit (MRT) dan Kereta Api Elektrik (KRL) mempunyai ketinggian pintu mengikut piawaian antarabangsa iaitu sesuai untuk individu tinggi lebih 180 sentimeter.
“Sepatutnya pembinaan pengangkutan awam itu perlu mengikut standard antarabangsa kerana Jakarta ini juga dikunjungi pelancong asing yang saiz fizikalnya lebih besar, lebih tinggi.
“Selain untuk keselesaan masyarakat setempat, kita juga perlu utamakan keselesaan pelancong asing yang datang ke negara kita,” katanya.
Jelas Deddy, pintu LRT Jabodebek seharusnya mengikut ketinggian pintu MRT dan KRL yang mempunyai standar antarabangsa.