SINGAPURA: Lebih 2.7 juta rakyat Singapura akan menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Presiden kali ini.
Pilihan Raya Presiden Singapura menyaksikan persaingan tiga penjuru antara bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Pte Ltd, Ng Kok Song; bekas Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income Insurance Co-operative Ltd, Tan Kin Lian dan bekas Menteri Kanan Singapura, Tharman Shanmugaratnam.
Penduduk Singapura yang layak mengundi keluar memilih calon pemimpin diingini mereka apabila pusat pengundian mula dibuka pada pukul 8 pagi (waktu tempatan).
Malah, ramai orang mengambil kesempatan hadir ke pusat mengundi lebih awal sehingga barisan panjang terbentuk sebelum pintu pagar dibuka.
Di pusat pengundian di Sekolah Rendah Waterway di Punggol dilaporkan puluhan orang beratur menunggu di luar pintu pagar.
Masa pengundian bermula pada pukul 8 pagi waktu tempatan dan ditutup pada 8 malam.
Sebanyak 1,264 pusat mengundi disediakan dengan kira-kira 36,000 petugas pilihan raya di seluruh Singapura pada pilihan raya presiden kali ini.
Semalam, Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD) dalam satu kenyataan menasihati para penduduk untuk ke pusat pengundi pada sebelah petang terutamanya pada waktu tengahari apabila barisan orang menunggu biasanya kurang.
“Memandangkan masa pengundian akan berlangsung sehingga 8 malam, kami menasihatkan penduduk untuk tiba di pusat mengundi pada sebelah petang.
“Kami memohon kesabaran dan kefahaman penduduk ketika kami cuba menyuraikan kesesakan dan barisan panjang,” jelasnya.
Dalam pada itu, CNA melaporkan beberapa pemimpin keluar mengundi bagi memilih ketua negara seterusnya.
Presiden Halimah Yacob antara pemimpin yang terawal keluar mengundi.
Beliau bersama suaminya tiba di kampus Sekolah Menengah Chung Cheng kira-kira pukul 8.05 pagi.
Halimah memegang jawatan tertinggi itu sejak tahun 2017.
Penggal perkhidmatan beliau dijadualkan tamat pada 13 September ini.
Mei lalu, Halimah yang juga presiden wanita pertama di republik itu mengumumkan tidak akan bertanding semula untuk mempertahankan jawatannya. – AGENSI