BANGKOK: Komander tentera udara dari beberapa negara Asia Tenggara dijangka tidak menghadiri persidangan serantau yang akan dipengerusikan oleh pemerintah tentera Myanmar.
Persidangan Ketua-ketua Udara ASEAN yang diadakan secara tahunan, menghimpunkan pemimpin tertinggi tentera udara dari blok 10 negara itu bagi membincangkan kerjasama dalam pertahanan, memerangi ekstremisme dan bantuan bencana.
Sekurang-kurang tiga negara anggota ASEAN memberitahu AFP mereka tidak akan menghantar pegawai tertinggi ke persidangan berkenaan.
Junta Myanmar dituduh melakukan jenayah perang melalui serangan udara oleh jet pejuangnya bagi membantu tentera darat melawan kumpulan penentang, ketika melancarkan rampasan kuasa pada 2021.
Ketua tentera udaranya, Htun Aung yang akan mempengerusikan persidangan kali ini, sudah pun dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Britain.
Pegawai memaklumkan kepada AFP, ketua tentera udara Filipina, Malaysia dan Indonesia tidak akan menghadiri mesyuarat berkenaan.
Panglima tentera udara Malaysia tidak akan menghadiri persidangan itu, kata seorang jurucakap, manakala komander Filipina akan menghantar mesej video kepada rakan sejawatnya tanpa hadir.
“Ketua tentera udara Indonesia tidak akan hadir dan juga tidak akan menghantar sebarang wakil,” kata jurucakap pasukan itu, Agung Sasongkojati, kepada AFP tanpa menyatakan alasan untuk keputusan berkenaan.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN 2023 yang berakhir kelmarin di Jakarta, Indonesia, blok itu menuduh junta menyasarkan orang awam dalam konflik yang sedang melanda Myanmar, serta mengabaikan pelan damai yang dipersetujui dengan ASEAN untuk menamatkan keganasan.
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, berkata ‘tiada kemajuan ketara’ dalam pelan yang dipersetujui lebih dua tahun lalu itu, namun pihak junta menyelar penilaian berkenaan sebagai ‘berat sebelah.’
ASEAN menyekat pegawai junta daripada menghadiri mesyuarat peringkat tinggi kerana keengganan mereka untuk bekerjasama dalam pelan damai itu.
Dalam pada itu, komander tentera udara Kemboja, Soeng Samnang, enggan mengulas sama ada beliau akan menghadiri persidangan berkenaan, manakala tentera udara Singapura, Brunei dan Vietnam pula tidak respons kepada permintaan untuk mendapatkan komen.
Namun, pegawai Kementerian Pertahanan Thailand memaklumkan ketua tentera udara negara itu akan melakukan perjalanan ke Myanmar. – AFP