Perintah berkurung di Manipur tidak berkesan, tunjuk perasaan ganas terus berlaku - Utusan Malaysia

Perintah berkurung di Manipur tidak berkesan, tunjuk perasaan ganas terus berlaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Ribuan penunjuk perasaan cuba menyerbu rumah Ketua Menteri Manipur di India, memaksa pihak berkuasa memanggil tentera tambahan untuk mengekalkan ketenteraman awam.

Di Manipur ketika ini, lebih 150 orang sudah terbunuh sejak pertempuran bersenjata tercetus pada Mei lalu, antara etnik Meitei yang majoritinya beragama Hindu dan masyarakat Kuki Kristian.

Puak Meitei berang sejak kebelakangan ini apabila tersebarnya gambar dua pelajar yang hilang Julai lalu, disahkan maut dibunuh.

Penduduk di ibu negeri Imphal yang menentang amaran keselamatan dan perintah berkurung, melancarkan protes berhampiran rumah keluarga Ketua Menteri, N Biren Singh.

Seorang pegawai kanan di pejabat kerajaan itu memberitahu AFP, ribuan orang cuba menyerang kediaman berkenaan dan mereka dihalang daripada ‘sampai ke kediaman itu oleh polis menggunakan kekerasan’.

Pegawai itu juga berkata, tembakan masih berterusan, namun dia tidak dapat mengesahkan sebarang kemalangan jiwa.

Pejabat Ketua Menteri juga sudah merayu bantuan daripada tentera untuk mengawal perusuh yang ‘datang dari semua arah’.

Katanya, penunjuk perasaan juga menyasarkan rumah wakil di Dewan tertinggi Parlimen.

Pihak berkuasa juga sudah memotong bekalan elektrik di kawasan itu untuk mengurangkan jarak penglihatan penunjuk perasaan dan penyiar NDTV melaporkan, pasukan keselamatan melepaskan beberapa das tembakan gas pemedih mata.

Polis Manipur bagaimanapun berkata, keselamatan yang mencukupi sudah disediakan.

Biren Singh, selaku ahli Parti India Bharatiya Janata (BJP) serta pemimpin parti itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi, juga dikritik kerana kegagalan pentadbirannya menamatkan keganasan di negeri itu.

Minggu ini, pentadbir kerajaan sudah mengenakan perintah berkurung di Imphal selepas berpuluh-puluh pelajar cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.

Sekatan internet selama hampir lima bulan juga sudah ditarik balik minggu lalu, tetapi ia dikenakan semula lewat Selasa lalu.

Human Rights Watch (HRW) menuduh pihak berkuasa Manipur mendorong konflik berterusan dengan ‘dasar perpecahan yang menggalakkan majoriti penduduk beragama Hindu’. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya