PARIS: Perancis mengarahkan Apple untuk menghentikan penjualan iPhone 12 kerana memancarkan terlalu banyak sinaran elektromagnet.
Badan pemantau Perancis yang mengawal frekuensi radio juga memberitahu gergasi teknologi itu untuk membaiki semua peranti sedia ada.
Agensi Frekuensi Kebangsaan (ANFR) turut menasihatkan Apple menarik balik semua iPhone 12 yang pernah dijual di negara itu jika gagal menyelesaikan masalah melalui kemas kini perisian.
Bagaimanapun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berusaha untuk meredakan kebimbangan mengenai radiasi yang dipancarkan oleh telefon bimbit.
WHO di laman webnya berkata, tiada bukti untuk membuat kesimpulan bahawa pendedahan kepada medan elektromagnet tahap rendah berbahaya kepada manusia.
iPhone 12 pertama kali dikeluarkan pada September 2020 dan masih dijual di seluruh dunia.
Apple memberitahu BBC pihaknya menentang semakan ANFR dan menegaskan sudah menyediakan badan pengawal selia dengan keputusan makmal daripada gergasi teknologi itu sendiri dan pihak ketiga menunjukkan peranti itu mematuhi semua peraturan yang berkaitan.
Apple berkata, iPhone 12 diiktiraf sebagai peranti yang mematuhi peraturan mengenai tahap sinaran di seluruh dunia.
Berita itu pertama kali tersebar di Perancis pada hari yang sama Apple melancarkan model iPhone 15 terbaharunya.