GORONTALO, INDONESIA: Penunjuk perasaan bertindak membakar pejabat Datuk Bandar di sebuah pulau Indonesia bagi menuntut pampasan ke atas aktiviti syarikat perlombongan di kawasan mereka, menurut polis.
Berikutan itu, beberapa tangkapan juga turut dibuat.
Dilaporkan, kehadiran syarikat perlombongan yang semakin meningkat di pulau-pulau utama Indonesia menyebabkan rusuhan dan pertempuran berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana keadaan kerja yang lemah dan pencerobohan tanah.
Tunjuk perasaan bermula semalam di wilayah Pohuwato di wilayah Gorontalo di pulau Sulawesi yang kaya dengan mineral apabila perarakan membabitkan kira-kira 2,500 orang menghampiri pejabat Datuk Bandar tempatan tetapi tiada pegawai bersedia bertemu dengan mereka, menurut laporan media tempatan.
Aktivis masyarakat juga menganjurkan demonstrasi menuntut pampasan ke atas aktiviti perlombongan emas di kawasan mereka oleh PT Puncak Emas Tani Sejahtera, anak syarikat PT Merdeka Copper Gold yang menyelia lombong Projek Emas Pani.
“Mengenai demonstrasi itu, polis masih bekerja keras untuk menyiasat rusuhan yang berlaku di Pohuwato,” kata polis Gorantalo di laman webnya semalam, memetik jurucakap, Desmont Harjendro.
Selepas pejabat Datuk Bandar dibakar, penunjuk perasaan menuju ke Parlimen tempatan untuk mengadakan satu lagi tunjuk perasaan, di mana bangunan itu turut rosak, menurut laporan.
Harjendro berkata, beberapa penunjuk perasaan ditahan dan polis mengawal kawasan berkenaan.
“Mereka akan disoal siasat berhubung demonstrasi ganas yang berakhir dengan kemusnahan beberapa kemudahan termasuk pembakaran pejabat Datuk Bandar Pohuwato,” katanya.
Beliau memberi amaran kepada penunjuk perasaan lain bahawa mereka akan ditangkap jika terbabit dalam serangan ganas atau merosakkan harta awam.
Sementara itu, Presiden Pengarah Merdeka Copper Gold dan PT Puncak Emas Tani Sejahtera, Boyke Poerbaya Abidin, mengkritik penunjuk perasaan.
“Kami kesal dengan kejadian itu dan mengecam tindakan ganas oleh penunjuk perasaan tidak bertanggungjawab yang menyebabkan kerosakan,” katanya sambil menegaskan projek perlombongan itu beroperasi atas lesen yang diluluskan kerajaan. – AFP