ATHENS: Greece dikejutkan dengan insiden tragis seorang lelaki yang lemas di perairan Mediterranean selepas ditolak oleh kru kapal ketika menaiki sebuah feri pada saat-saat akhir.
Insiden itu dilaporkan berlaku di Pelabuhan Piraeus, berhampiran Athens Selasa lalu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki berlari menuruni tanjakan feri Blue Horizon, ketika pengangkutan itu bersiap sedia untuk meninggalkan pelabuhan.
Namun dua anak kapal menghalang lelaki yang dipercayai berusia 36 tahun itu sehingga tanjakan berundur, menyebabkan dia jatuh ke dalam laut.
Amat menyedihkan, anak kapal tidak melakukan apa-apa untuk membantu lelaki berkenaan sebaliknya meneruskan perjalanan ke Pulau Crete, sebelum diarah pulang ke Piraeus oleh pihak berkuasa pelabuhan.
Video yang dirakam oleh penumpang feri dan saksi kejadian di darat menunjukkan pengawal pantai akhirnya tiba untuk menarik keluar lelaki itu yang sudah kelihatan tidak bermaya sebelum disahkan meninggal dunia.
“Insiden memalukan semalam tidak menunjukkan sifat rakyat negara ini yang kita mahukan,” kata Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis.
Menteri Perdagangan Marin, Miltiadis Varvitsiotis berkata, tingkah laku anak kapal itu adalah satu penghinaan kepada anggota kelasi kerana mangsa sudah membeli tiket feri dan bergegas kembali semula selepas turun sebentar atas alasan yang tidak diketahui.
Katanya, siasatan berhubung kematian lelaki itu sedang dijalankan dengan seorang pendakwa raya sudah memfailkan tuduhan jenayah terhadap seorang kapten feri dan tiga anak kapal.
“Seorang anak kapal didakwa dengan tuduhan cubaan membunuh dan dua lagi bersubahat manakala kapten dituduh melakukan beberapa pelanggaran peraturan berkaitan dengan navigasi,” katanya.-AGENSI