MEDAN: Datuk Bandar Medan, Bobby Nasution memaklumkan pihak berkuasa akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kawasan sungai sekitar wilayah ini bermula Januari tahun depan.
Langkah itu diambil bagi membendung amalan penduduk yang suka membuang sampah ke dalam sungai sehingga menyebabkan pencemaran serius.
Katanya, selepas CCTV dipasang, mana-mana individu yang didapati sengaja membuang sampah ke sungai boleh didenda 10 juta rupiah (RM3,025) dan penjara selama tiga bulan.
“Peraturan itu sudah termaktub dalam sistem perundangan negara dan mereka yang melanggar undang-undang pasti akan dihukum.
“Sungai merupakan sumber paling penting untuk semua hidupan, termasuk manusia, jadi kenapa kita perlu cemari sungai?
“Sepatutnya, tidak perlu pasang CCTV, namun orang kita ini degil, masih mahu buang dalam sungai, maka kita perlu ambil langkah ini,” katanya.
Bobby yang juga menantu Presiden Joko Widodo itu menyatakan, semua ketua daerah dan kampung akan diminta memantau semua sungai yang sering dijadikan lokasi pembuangan sampah.
Jelasnya, sungai perlu dipelihara bagi memastikan sumber itu sentiasa bersih.
Antara sungai yang sering menjadi tempat buang sampah oleh penduduk setempat adalah Sungai Deli.
Sungai Deli ini adalah ‘nyawa’ Medan dan jika ia terus tercemar, Medan tiada lagi sumber utama.
“Kita perlu bersihkan Deli dan untuk itu, kita akan bekerjasama dengan semua pihak, termasuk pasukan tentera.
“Bila sungai bersih, kita lebih sihat dan bencana banjir juga sukar berlaku,” ujarnya.