MOSCOW: Kematian ketua kumpulan tentera upahan Wagner, Yevgeny Prigozhin terus mencetus pelbagai spekulasi dan teori konspirasi.
Terbaharu, seorang penganalisis politik Russia mendakwa Prigozhin masih hidup dan kini bersembunyi di Vanezuela.
Penganalisis, Dr. Valery Solovoy yang juga bekas profesor di Institut Perhubungan Antarabangsa Moscow (MGIMO), sebuah akademi latihan untuk pengintip dan diplomat mendakwa, Prigozhin berada dalam keadaan sihat di Pulau Margarita di Caribbean.
Solovoy mendakwa, sumbernya memaklumkan bahawa Prigozhin diberi amaran tentang nahas pesawat yang akan berlaku dan diberi laluan untuk mengelak daripada berada di atas kapal.
“Dia berada di Venezuela. Setahu saya, dia berada di sebuah pulau bernama Margarita. Prigozhin sudah diberi amaran tentang pembunuhannya dan rancangan pesawatnya akan dimusnahkan,” katanya.
Beliau turut mendakwa bahawa terdapat perjanjian yang dibuat melibatkan Presiden Russia, Vladimir Putin dan Setiausaha Majlis Keselamatan Russia, Nikolai Patrushev.
“Mereka membangunkan helah yang kami perhatikan. Apabila komander utama Wagner yang lain meninggal dunia dalam nahas pesawat itu, Prigozhin masih hidup dan sihat. Mereka bersetuju mengenai kerjasama dalam keadaan kritikal,” katanya.
Malah, Solovoy turut mendakwa Putin kini sedang sakit dan terdapat dua penyamar yang dikawal oleh Perkhidmatan Perlindungan Persekutuan (FSO) digunakan untuk meningkatkan jumlah penampilannya di khalayak.