Penduduk Kalimantan Timur harap tak dipinggirkan

Penduduk Kalimantan Timur harap tidak dipinggirkan

SIBUKDIN tidak mahu penduduk asal di Nusantara dipinggirkan.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALIMANTAN TIMUR: Penduduk kampung berhampiran Kalimantan Timur berharap mereka tidak kehilangan tempat tinggal atau dibiarkan tanpa menerima sebarang pampasan selepas proses pemindahan ibu negara baharu ke Nusantara selesai dilaksanakan.

Awal tahun ini, petani di perkampungan Sepaku kira-kira 20 kilometer dari kawasan pembinaan Nusantara dikejutkan dengan kemunculan papan tanda sempadan pembangunan di sepanjang tanah pertanian mereka.

TUNGGU PAMPASAN

“Pada suatu hari, kami menemui penanda sempadan di sebelah rumah kami. Sudah tentu, orang yang tinggal di sini terkejut.

“Tanpa sesiapa pun menjelaskan maksud penanda itu, kami hanya dapat mengagak bahawa projek ini akan mengusir penempatan di sini,” kata seorang petani, Pandi merujuk kepada sebuah empangan yang dibina di seberang sungai Sepaku, yang akan membekalkan air ke Nusantara.

Pandi, 51, berkata, belum ada perbincangan mengenai pampasan setakat ini dan penduduk kampung menunjukkan penentangan terhadap prospek pemindahan dengan mempamerkan kain rentang.

Di kampung Pemaluan, penoreh getah, Jubaen, 58, mengakui pernah berdepan pengalaman serupa.

Pembinaan jalan bertol yang menghubungkan Nusantara dan Balikpapan boleh menjejaskan ladangnya seluas enam hektar, tetapi sehingga kini tiada sebarang perbincangan dibuat.

“Apabila ibu kota baharu sedang dibangunkan, maka secara automatik tanah kita yang berada dalam sempadannya akan diambil alih. Penduduk yang bergantung pada hasil ladang tidak tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya,” keluhnya.

Kesan alam sekitar turut mencetus kebimbangan besar apabila sungai yang menjadi sumber air penduduk sekitar dikhuatiri turut terjejas.

“Jika pihak berkuasa mahu membangunkan ibu kota baharu, sila teruskan.

“Tetapi tolong beri perhatian kepada kami. Tolong berikan kami hak undang-undang yang jelas ke atas tanah itu supaya kami dapat mewariskannya kepada generasi seterusnya,” kata Pandi kepada Channel News Asia.

BERDOA TIDAK DIPINGGIRKAN

Fasa pertama Nusantara yang terdiri daripada istana, premis kementerian dan infrastruktur asas seperti jalan raya serta perumahan dijangka siap menjelang sambutan Kemerdekaan Indonesia 17 Ogos tahun depan.

Keseluruhan projek Nusantara dijadualkan siap pada 2045, apabila Indonesia menyambut 100 tahun kemerdekaan.

Bagi komuniti orang Asli yang tinggal berhampiran ibu kota masa depan itu, kekurangan maklumat turut mencetuskan kebimbangan yang sama.

“Adakah kita akan menjadi penonton, pembersih dan pencuci pinggan mangkuk?

“Puak kami ingin menyatakan hasrat kami. Tolong selamatkan kami daripada sumpahan ini. Kami tidak mahu akhirnya menjadi hamba,” kata Ketua Masyarakat Orang Asli Balik, Sibukdin.

Sibukdin, 60, mengakui Nusantara membuka banyak peluang pekerjaan untuk tenaga mahir yang terdiri daripada graduan dan pascasiswazah.

Tetapi mustahil bagi komunitinya untuk bekerja sebagai penjawat awam di ibu negara baharu itu kerana ramai dalam kalangan mereka tidak menamatkan sekolah rendah.

“Jadi, jika anda bertanya siapa paling terjejas dengan pembinaan ibu negara baharu ini, mungkin orang pertama akan menjadi Orang Asli. Apa yang kerajaan perlu lakukan ialah melengkapkan penduduk tempatan dengan latihan mencukupi.

“Kami diberitahu bahawa kami mesti bersedia untuk menerima saudara-saudara kami dari Jawa, Sulawesi, Sumatera dan juga luar negara. Tetapi bukankah tanggungjawab kerajaan untuk membantu kami bersedia terlebih dahulu? Itu pendekatan yang betul.

“Ini tentang cara memastikan penduduk asal tidak terpinggir di tengah-tengah pembinaan ibu kota baharu. Kami juga ingin mendapat manfaat daripada kehadirannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya