RABAT: Pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan mayat seorang wanita yang tersepit di celah runtuhan rumahnya yang ranap menyembah bumi di sebuah perkampungan di kawasan pedalam Maghribi ketika tunangnya terus meratap di kawasan yang sepatutnya menjadi lokasi majlis perkahwinan mereka.
Omar Ait Mbarek, 25, hanya menyaksikan penggalian itu dengan linangan air mata sambil dikelilingi penduduk kampung, beberapa kilometer dari pusat gempa di Pergunungan Atlas.
Omar sedang bersembang dengan tunangnya di telefon apabila gegaran kuat berlaku Jumaat lalu dan dia hanya terdengar bunyi peralatan dapur terhempas ke lantai sebelum talian terputus.
“Apa yang anda mahu saya katakan? Hati saya sudah hancur,” katanya kepada wartawan selepas mayat Mina Ait Bihi dibawa pergi dalam selimut ke tanah perkuburan hanya beberapa hari sebelum mereka sepatutnya diijab kabulkan.
Penyelamat dengan berhati-hati membersihkan kotoran di wajah Mina sebelum menyerahkan telefon yang masih melekat ditangannya kepada Omar ketika lelaki itu masih tidak henti meraung kesedihan.
Seluruh penduduk kampung Tikht yang dihuni lebih 100 keluarga turut merasai kepedihan serupa selepas hampir kesemua rumah binaan tradisional di kawasan itu bertukar menjadi serpihan konkrit.
BERPERANG DENGAN MASA
Pasukan penyelamat berperang dengan masa untuk mencari mangsa yang terselamat dari runtuhan di kawasan perkampungan yang musnah teruk di pergunungan Atlas Maghribi, tiga hari selepas gempa bumi paling kuat berlaku di negara itu.
Menurut angka rasmi yang dikemas kini, gempa bumi berukuran 6.8 magnitud yang melanda barat daya bandar Marrakesh meragut lebih 2,100 nyawa dan mencederakan lebih 2,400 dengan kebanyakannya dilaporkan parah.
Rabat mengumumkan sudah menerima tawaran sumbangan daripada empat negara asing, manakala banyak negara lain juga menyatakan kesediaan untuk menghantar bantuan.
“Pihak berkuasa bertindak balas dengan baik pada peringkat ini kepada tawaran dari Sepanyol, Britain, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menghantar pasukan mencari dan menyelamat.
“Tawaran lain mungkin diterima pada masa hadapan jika keperluan berkembang,” kata Kementerian Dalam Negeri.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, pihaknya bersedia memberikan apa sahaja keperluan yang diminta oleh Maghribi sementara sebuah penerbangan bantuan oleh Qatar berlepas dari pangkalan udara Al-Udeid di luar Doha petang semalam.
Sepanyol turut menghantar 86 anggota penyelamat dan lapan anjing pengesan ke Maghribi untuk membantu operasi yang kini berada di jam-jam kritikal.
“Kami akan menghantar apa sahaja yang diperlukan kerana semua orang tahu bahawa hari-hari terawal ini adalah penting, terutamanya jika ada orang yang masih hidup tertimbus di bawah runtuhan,” kata Menteri Pertahanan Sepanyol, Margarita Robles.
KAMPUNG LENYAP
Gempa bumi memusnahkan seluruh kampung di kawasan berbukit di Pergunungan Atlas, di mana banyak rumah terpencil dibina daripada batu bata tanah liat.
Kampung terpencil Tafeghaghte, 60 kilometer dari Marrakesh di wilayah Al-Haouz merekodkan lebih 1,300 kematian.
Kementerian pendidikan mengumumkan bahawa kelas di perkampungan yang paling teruk terjejas itu digantung dan sekolah tidak akan dibuka mulai semalam.
Rakyat bergegas ke hospital di Marrakesh untuk menderma darah bagi membantu mereka yang parah selepas kerajaan mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari.
“Keadaan tidak akan pulih dalam tempoh satu atau dua minggu. Kami menjangkakan tindak balas pemulihan akan memakan masa berbulan-bulan atau mungkin bertahun-tahun berdasarkan jumlah kemusnahan yang berlaku,” kata Pengarah Persatuan Palang Merah Timur Tengah dan Afrika Utara, Hossam Elsharkawi.
Bencana itu disifatkan paling dahsyat di Maghribi sejak gempa bumi pada 1960 memusnahkan kawasan di Agadir, mengorbankan lebih 12,000 orang.-AFP