LONDON: Ketua pegawai veterinar United Kingdom (UK) menegaskan pengampunan akan diberikan sebelum larangan ke atas anjing jenis pembuli XL Amerika dilaksanakan di negara itu.
Larangan itu dikenakan selepas seorang pakar mendakwa baka anjing itu menjadi punca kepada hampir separuh daripada semua kes serangan terhadap manusia dan anjing lain yang terbunuh sejak tahun 2021.
Lapor The Guardian, menurut Christine Middlemiss, pengampunan untuk anjing jenis pembuli XL bermakna haiwan sedia ada itu tidak akan dimusnahkan.
Namun, katanya, pemilik anjing berkenaan dikehendaki mendaftar dan memastikan haiwan peliharaan mereka diikat ketika berada di khalayak ramai.
Middlemiss menerusi program BBC Radio 4 memaklumkan larangan dikenakan terhadap baka anjing pembuli XL hanya merupakan satu langkah.
Beliau juga menekankan kepentingan untuk mengetahui keberadaan haiwan itu di negara itu.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak mengumumkan bahawa baka anjing itu akan diharamkan menjelang akhir tahun ini.
Arahan itu dibuat selepas seorang lelaki di West Midlands meninggal dunia berikutan serangan anjing disyaki jenis pembuli XL.
Ia merupakan kes terbaharu dalam siri serangan baka anjing berkenaan.
Dilaporkan, enam daripada 10 kes serangan anjing yang membawa maut di UK pada tahun lalu dikaitkan dengan baka pembuli XL.
Sebelum ini, seorang pakar undang-undang, Dr. Lawrence Newport menyifatkan baka anjing itu sebagai `amat berbahaya’.
“Baka pembuli XL menjadi punca lebih 70 peratus daripada semua kes kematian anjing sejak 2021.
“Malah, ia juga bertanggungjawab untuk hampir 50 peratus daripada kes serangan terhadap manusia dan anjing lain.
“Dalam tempoh seminggu pada Julai lalu dilaporkan hampir setiap hari seekor anjing dibunuh oleh baka pembuli XL,” katanya.
Sementara itu, Royal Society to Protect Animals (RSPCA) dan beberapa aktivis lain menegaskan langkah menambah baka anjing itu dalam senarai larangan UK tidak sama sekali akan menangani lonjakan kes serangan haiwan tersebut.