BANDUNG: Orang ramai boleh menyertai dalam ujian perjalanan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Jakarta dengan Bandung bermula pada Oktober tahun ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi) semasa menyaksikan ujian perjalanan di Stesen HSR Jakarta-Bandung Padalarang, daerah Bandung Barat, Jawa Barat kelmarin.
Katanya, kerajaan akan meneruskan rancangan untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk menaiki kereta api tersebut yang boleh melakukan perjalanan dari Jakarta dan Bandung dalam masa 50 minit, secara percuma sepanjang tempoh ujian dilakukan.
“Saya berharap orang ramai dapat menggunakan HSR bermula dari awal Oktober ini dan tambangnya adalah percuma sepanjang ujian perjalanan dilakukan,” katanya.
Selain itu, Jokowi juga berharap operasi kereta api berkelajuan tinggi itu dapat membantu kerajaan dalam usaha menarik lebih ramai rakyat untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Beliau menjelaskan, kesesakan trafik yang berlaku di Jakarta dan kawasan sekitarnya menyebabkan negara mengalami kerugian kira-kira AS$6.5 bilion (RM30.4 bilion).
“Adalah lebih baik jika kita semua mula beralih menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam kerana boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas, sekali gus mengurangkan kerugian yang dialami negara,” ujarnya.