YANGON: Walaupun diisytiharkan sebagai negara yang merdeka, namun rakyat Myanmar kini umpama berjuang untuk kemerdekaan sekali lagi setelah diselubungi kekejaman rampasan kuasa tentera.
Warga Myanmar yang tinggal di luar negara atau diaspora kini berusaha menjadi nadi bagi menggerakkan usaha yang dianggap ramai sebagai perjuangan muktamad untuk masa depan rakyat negara itu.
SOKONGAN DIASPORA
Bagi Bawi Tin Par, 26, hubungannya dengan Myanmar beransur pudar selepas meninggalkan negeri asalnya Chin, ketika berusia sembilan tahun dan ditempatkan semula sebagai pelarian di bandar Indianapolis. Amerika Syarikat (AS).
Tetapi apabila negara itu mengalami krisis berikutan rampasan kuasa tentera sejak Februari 2021, dia berasa terpanggil untuk bertindak.
Tin Par merupakan sebahagian daripada diaspora yang membantu menyokong gerakan prodemokrasi sejak rampasan kuasa walaupun dengan sokongan terhad badan antarabangsa.
Penyelidikan yang diterbitkan badan pemikir berpangkalan di Brussels, International Crisis Group pada Disember lalu berjaya mengenal pasti sumbangan diaspora sebagai sumber pembiayaan paling penting untuk penentangan antirampasan kuasa di Myanmar.
Ketika tentera memerangi penentang dengan pembakaran dan pengeboman, kumpulan diaspora juga sangat kritikal terhadap tindak balas kemanusiaan.
Kajian pada Februari 2022 oleh Koordinasi dan Tindakan Kecemasan Diaspora, sebuah syarikat bukan keuntungan di Denmark mendapati, kumpulan sedemikian dapat mengakses populasi yang sukar dijangkau di negara itu.
Mereka juga mampu bertindak pantas tanpa dihalang oleh birokrasi formal dalam memenuhi keperluan penduduk yang sukar ditangani oleh masyarakat antarabangsa.
“Kami perlu melakukan sesuatu atau kami tidak akan lagi mempunyai tempat untuk dipanggil tanah ai. Myanmar perlu merdeka kali kedua,” kata Tin Par.
Lebih tiga juta diaspora Myanmar merangkumi sebahagian generasi yang melarikan diri daripada penindasan ganas tentera terhadap protes prodemokrasi pada tahun 1988.
Manakala yang lain pula meninggalkan negara itu dua dekad kemudian untuk menyertai tenaga kerja migran di negara luar termasuk Thailand, Malaysia, Singapura dan Jepun atau ditempatkan semula di Barat sebagai pelarian.
BANTU CARI DANA
Walaupun berjuta-juta menyertai protes aman sejurus selepas rampasan kuasa, tindakan keras tentera mencetuskan pemberontakan bersenjata.
Kumpulan penentang hanya menggunakan senapang memburu dan bahan letupan buatan sendiri untuk berhadapan dengan tentera yang menerima bekalan senjata dari Russia dan China berharga lebih daripada AS$2 bilion (RM9.3 bilion).
Namun, kumpulan penentang berjaya meningkatkan bekalan senjata di samping menyediakan perkhidmatan awam seperti kesihatan dan pendidikan kepada kira-kira 1.6 juta penduduk melalui pembiayaan serta sumbangan diaspora yang dianggarkan berjumlah puluhan juta dolar.
“Revolusi Musim Bunga Myanmar ialah Revolusi Rakyat. Sejak dua tahun lalu, pentadbiran selari terdiri daripada ahli politik dan aktivis yang menentang rampasan kuasa berjaya mengumpulkan lebih AS$156 juta (RM730 juta).
“Sebahagian besar daripadanya datang daripada warga Myanmar yang tinggal di luar negara,” kata jurucakap Pejabat Presiden Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), Kyaw Zaw.
Kumpulan diaspora dilaporkan memilih kaedah pengumpulan dana yang kreatif seperti menjual seekor lembu peliharaan untuk membeli peluru dan menganjurkan cabaran derma di media sosial bagi pembelian senapang M-16.
Konsert muzik amal ialah satu lagi kaedah pengumpulan dana yang popular, terutamanya dalam kalangan etnik minoriti Chin Myanmar.
ChinTube, sebuah organisasi bukan keuntungan yang berpangkalan di Indianapolis, mengumpulkan hampir AS$150,000 (RM702,671) dengan menganjurkan konsert di seluruh AS, yang sebahagian besarnya dihadiri oleh pelarian Chin.
“Warga Chin tidak mempunyai harta atau wang yang banyak tetapi dalam keadaan memerlukan, mereka mengeluarkan semua yang mereka ada.
“Kami cuba menarik minat orang ramai melabur untuk revolusi ini. Kami berhutang kepada pejuang penentangan berani kami yang mengorbankan nyawa mereka untuk kembali meraih kemerdekaan untuk negara,” kata Pengasas ChinTube, Rosie Bawitha Par.-AGENSI