SAN FRANCISCO: Seekor lungfish di Amerika Syarikat (AS) yang dinamakan Methuselah menjadi ikan akuarium tertua di dunia dengan usianya dipercayai mencecah 100 tahun.
Ikan yang dibela di Akuarium Steinhart di San Francisco itu dinobat sebagai ikan tertua disimpan dalam kurungan dan umurnya kini dianggarkan antara 92 hingga 101 tahun.
Methuselah dilaporkan tiba di AS pada tahun 1938 dengan kapal stim dari Australia bersama 230 ekor ikan lain.
Saintis berkata, Methuselah dipercayai betina dan merupakan satu-satunya ikan yang masih hidup daripada semua ikan dibawa kapal wap berkenaan.
“Methuselah hanya ikan kecil ketika itu, tetapi terus membesar seiring berlalunya tahun dan kehidupan akuarium kelihatan sesuai dengannya.
“Orang-orang yang melihat melalui dinding kaca akuarium nampaknya tidak sedikit pun memberi tekanan kepadanya, malah sangat manja dan masih gemar mengintip kembali pelawat hingga ke hari ini,” jelas kakitangan di akuarium itu.
Ikan itu asalnya diberi gelaran tidak rasmi sebagai ikan tertua dalam kurungan pada tahun 2017 apabila pakar menganggarkan umurnya pada 84 tahun, namun ujian yang lebih terkini menunjukkan Methuselah lebih tua daripada yang dijangkakan.
Lungfish merupakan spesies paling menarik dan menyimpan banyak misteri kerana mempunyai beberapa struktur tubuh yang berbeza berbanding kebanyakan jenis ikan lain.