JAKARTA: Malaysia dianggap sebagai destinasi paling mudah berlaku kepincangan dalam Pilihan Raya Umum (Pemilu) Indonesia yang akan diadakan pada tahun depan.
Dakwaan itu dibuat oleh pegawai Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) Indonesia, Herwyn LH Malonda ketika mendedahkan senarai 20 daripada 128 negara berpotensi berlaku kepincangan dalam Pemilu 2024 di luar negara.
Selain Malaysia, katanya, negara lain paling mudah berlaku kepincangan adalah Amerika Syarikat (AS), Hong Kong, Jepun, Australia, Qatar, Taiwan dan Belanda.
Turut berada dalam senarai itu adalah Korea Selatan, Mesir, Singapura, Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Brunei, Abu Dhabi, Jerman dan Filipina.
Menurut Herwyn, Malaysia mendahului senarai itu memandangkan hampir separuh pengundi luarnya menetap di negara ini.
Jelasnya, ramai yang menetap di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang dan Tawau.
“Bukan Malaysia sahaja, malah terdapat beberapa negara yang dianggap mudah berlaku kepincangan kerana ramai pengundi keluar masuk.
“Antaranya di Taiwan, Hong Kong, Arab Saudi, Singapura, UAE, Korea Selatan, Brunei, Qatar dan Oman,” katanya.
Herwyn berkata, kepincangan itu boleh berlaku menerusi pelbagai cara.
Ia termasuk pelanggaran hak mengundi, kualiti senarai pengundi serta semasa berkempen.
“Pelanggaran penggunaan media sosial serta pengagihan dan penggunaan logistik ketika pilihan raya juga boleh berlaku,” jelasnya.
Selain itu, kata Herwyn, kepincangan lain boleh membabitkan kaedah pengundian luar negara seperti undi pos, Peti Undi Bergerak (KSK) dan Pusat Mengundi Luar Negara (TPSLN).