TOKYO: Menjalani kehidupan sihat dan tidak merokok merupakan antara tip yang terbaik untuk diamalkan bagi memastikan kesihatan otak terjamin.
Namun, para saintis menemukan kaedah terbaharu yang boleh menjadikan otak manusia lebih sihat, iaitu dengan mengamalkan pengambilan keju.
Pasukan penyelidik di Jepun yang memantau kesihatan dan tabiat makan lebih 1,500 responden berusia atas 65 tahun menyatakan, pengambilan keju secara kerap menunjukkan kadar skor yang baik dalam ujian kognitif.
Hasil penyelidikan itu mendapati, individu yang sering makan keju mempunyai risiko lebih rendah untuk mengalami demensia.
Menurut pakar, keju mungkin mengandungi nutrisi yang boleh meningkatkan fungsi otak, namun kajian mendalam perlu dilakukan untuk mengesahkan hasil penyelidikan tersebut.
Mengekalkan berat badan yang ideal, tidak mengambil minuman beralkohol terlalu banyak dan memastikan kadar darah pada paras sihat sering dicadangkan oleh semua pakar perubatan bagi mengurangkan risiko demensia.
Namun, penyelidik di Pusat Kebangsaan untuk Geriatriks dan Gerontologi di Obu menyatakan aktiviti fizikal, diet Mediterrabeab, pengambil produk tenusu boleh melambatkan atau mencegah demensia.
Berdasarkan kajian yang dilakukan, para saintis menganalisis data dari 1,504 responden dan mereka diberikan diet mengandungi keju.
Selepas ujian kognitif dilakukan, kebanyakan responden yang mengamalkan pengambilan keju mencatatkan skor yang baik berbanding mereka yang tidak makan keju.
Mereka yang makan keju juga merekodkan tekanan darah yang baik.