Majlis perkahwinan bertukar tragedi, bunga api disyaki punca kebakaran  - Utusan Malaysia

Majlis perkahwinan bertukar tragedi, bunga api disyaki punca kebakaran 

PASUKAN penyelamat berkumpul sekitar ambulans di luar hospital Hamdaniyah di al-Hamdaniyah, Iraq. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGHDAD: Kebakaran tercetus di sebuah majlis perkahwinan di Iraq yang mengorbankan lebih 100 nyawa, dipercayai berpunca daripada penggunaan bunga api dan mercun.

Jabatan Pertahanan Awam Iraq menerusi kenyataan memaklumkan laporan awal menunjukkan kebakaran itu berlaku selepas bunga api dinyalakan ketika sambutan majlis tersebut di sebuah dewan besar di daerah Hamdaniya, wilayah Nineveh.

Jabatan itu turut melaporkan penemuan panel pasang siap di dewan besar itu yang dikatakan `sangat mudah terbakar dan melanggar piawaian keselamatan’.

“Kebakaran itu menyebabkan beberapa bahagian siling runtuh akibat penggunaan bahan binaan kos rendah yang sangat mudah terbakar,” jelas kenyataan tersebut.

Situasi itu bertambah buruk dengan `pelepasan gas toksik yang dikaitkan dengan pembakaran panel’, yang mengandungi bahan plastik.

Wartawan Al Jazeera, Mahmoud Abdelwahed melaporkan bahawa bunga api dan mercun sering digunakan ketika sambutan majlis perkahwinan di Iraq.

Jelas Mahmoud, kira-kira 100 tetamu hadir pada majlis perkahwinan tersebut ketika kebakaran itu berlaku.

“Bahan mudah terbakar yang digunakan dalam pembinaan dewan itu disyaki menyumbang kepada kebakaran besar itu.

“Malah, bangunan itu nampaknya tidak ciri keselamatan yang sesuai termasuk pintu keluar kecemasan,” katanya.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 114 orang disahkan meninggal dunia dan lebih 200 lagi cedera dalam tragedi kebakaran itu.

Pasangan pengantin yang diraikan pada majlis tersebut juga dilaporkan menjadi antara mangsa yang terkorban.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Iraq, Saif al-Badr memaklumkan sebahagian besar mangsa yang cedera mengalami luka melecur dan sesak nafas.

Jelasnya, keadaan panik juga menyebabkan rempuhan berlaku di lokasi kejadian.

Beberapa gambar selepas insiden kebakaran menunjukkan pasukan penyelamat memanjat runtuhan bangunan yang hangus untuk mencari mangsa yang terselamat.

Beberapa klip video tular di media sosial yang didakwa dirakam pada saat sebelum kebakaran menunjukkan kepingan panel terbakar tertanggal dari siling dewan itu.

Dalam video itu, para tetamu juga dilihat panik dan berlari lintang-pukang untuk menyelamatkan diri.

Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shiaa Al-Sudani mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap kes kebakaran itu, selain meminta pegawai berkaitan membantu mangsa terjejas, demikian menurut kenyataan pejabatnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN